Sayyid Qutb dan Fi Zilālil Qur’an

Primary tabs

Dr Ahmad Nabil Amir | Abduh Study Group, IRF

 Sayyid Qutb (1906-1966) adalah seorang pemikir dan idealog penting yang banyak dikaitkan dengan gerakan jihadi dan haraki Islam yang fanatik dan ekstremis. Tohmahan sedemikian jelas tidak bersandar kepada kesahihan fakta dan kenyataan sebenar kerana lebih digerakkan oleh sikap prejudis dan sinis terhadap sosok dan gerakan Islamisnya.

Tulisan Qutb banyak merangka dan mengungkapkan idealisme pembaharuan yang dipancang di atas kemurnian tawhid dan syiar La-ilaha-illallah. Asas pemikirannya diilhamkan daripada idealisme perjuangan yang diungkapkan oleh reformer mazhab seperti Ibn Taymiyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah dan Imam Hassan al-Banna.

Penentangannya yang keras terhadap rejim Nasser dan perjuangannya di garis depan memimpin gerakan Ikhwan telah melakarkan pengaruh yang besar dalam masyarakat Mesir. Aktivismenya diarahkan kepada gerak perjuangan dakwah dan usaha melanjutkan kepimpinan dan pengaruh al-Banna di kalangan kader muda, dan iltizam yang tuntas dalam mempertahankan legasi Ikhwan.

Penyebaran ideologi yang ditegakkan di atas fikrah perjuangan al-Banna, dikembangkan oleh Qutb dengan pendekatan yang agak radikal dalam menolak kebejatan politik dan kepincangan sosial, dan mencanangkan ide-ide pembaharuan yang revolusioner. Qutb merangka khittah perjuangan yang jelas, bagi meluaskan pengaruh Ikhwan dan menegakkan agenda perubahan yang besar. Beliau melancarkan gerakan untuk menghukum kezaliman pemerintah, menolak kebobrokan budaya dan cengkaman politik yang rakus, menyingkirkan faham jahiliyah, membungkam sistem kapitalis,  nasionalis, dan feudalis dan melantarkan dasar-dasar perjuangan dan dakwah berteraskan kalimah La-ilaha-illallah.

Karya-karyanya yang besar, seperti Ma‘rakat al-Islam wa’l Ra’sumaliyah (Pertempuran antara Islam dan Kapitalisme), Mashahid al-Qiyamah fi al-Qur’an (Kenyataan Kiamat dalam al-Qur’an), Taswir al-Fanni fi al-Qur’an (Deskripsi Seni dalam al-Qur’an), Mustaqbal li Hadha al-Din (Masa Depan Agama Ini), al-Islam wa al-Salam al-‘Alami (Islam dan Kedamaian Sejagat), al-‘Adalah al-Ijtima‘iyyah fi’l-Islam (Keadilan Sosial dalam Islam) dan Fi Zilalil-Qu’ran (Di Bawah Lindungan al-Qur’an) telah memperlihatkan aspirasi pemikirannya yang tuntas, yang melontarkan ide-ide besar seputar keadilan sosial, kefahaman metaforik dan simbolis dalam al-Qur’an, kekuatan prosa dalam al-Qur’an, kenyataan figuratif dalam ayat-ayatnya, kesedaran agama dan gerakan pencerahan dan revolusi rakyat, keindahan dan ketinggian Islam dan tafsir haraki dalam al-Qur’an yang telah memangkin aspirasi ke arah kebangkitan dan revival Islam di abad mutakhir.

Fi Zilālil-Qur’an

Tafsir Fi Zilālil-Qur’an (In The Shade of the Qur’an/Di Bawah Lembayung al Qur’an) adalah karya tafsir yang penting yang diusahakannya selama merengkuk dalam penjara Nasser. Ia dihasilkan antara tahun 1951-1965 ketika Qutb berdepan dengan tentangan politik dan sosial yang mencabar.

Kitab ini disifatkan sebagai tafsir madani dan haraki yang terpenting dan berpengaruh dalam kajian teks al-Qur’an pada abad ke 20-21. Ia merungkai persoalan budaya, politik, hukum, syariat, pemikiran dan sains dengan manhaj penulisan yang menarik dan persuasif. Qutb telah menulis perenggan-perenggan awal Fi Zilālil-Qur’an dalam kolum khas yang dimuatkan dalam Jurnal al-Muslimun daripada surah al-Fatihah hingga al-Nahl (1951-54) dan meneruskan tafsirannya ketika menjadi tahanan politik semenjak tahun 1954 hingga 1964.

Tafsir Fi Zilālil-Qur’an merupakan khazanah intelektual Islam yang cukup bernilai yang melakarkan hujah dan analisis teks yang meyakinkan. Menurut Profesor Abdullah Saeed dalam bukunya, Islamic Thought: An Introduction, Fi Zilāl adalah “antara tafsir yang paling mengilhamkan dan terhebat dalam dunia kontemporari yang terkesan dengan idea-idea politikus Islam, khususnya penggerak  al-Ikhwan al-Muslimun.”

Pengaruh kitab Tafsir Fi Zilāl ini cukup meluas dan memberi dampak yang signifikan terhadap kitab-kitab tafsir yang lahir selepasnya seperti Tafsir al-Azhar oleh Buya Hamka yang menulis dalam pengantarnya bahawa Fi Zilālil al-Qur’anbanyak mempengaruhi saya dalam menulis Tafsir al-Azhar.

Tafsir-tafsir lain yang terkesan dengan Fi Zilāl termasuk Tafsir al-Maraghi oleh Shaykh Ahmad Mustafa al-Maraghi, al-Asas fi al-Tafsir oleh Said Hawwa, Tafsir al-Munir oleh Syaikh Wahbah al-Zuhayli, Rawa‘i al-Bayan oleh Shaykh ‘Ali Sabuni, Tafsir al-Qur’an al-Karim oleh A. Halim Hassan, Zainal Arifin Abbas dan Abdul Rahim Haytami, Tafsir al-Nur oleh T.M. Hasbi al-Siddiqi dan sebagainya.

Fi Zilāl diangkat sebagai salah satu tafsir yang terbaik, yang menzahirkan kekuatan ide dan keaslian hujah, ketinggian bahasa dan kemantapan fikrah dan istinbat fiqhnya. Ia menampilkan perspektif yang segar dan tersendiri tentang relevensi al-Qur’an kepada umat Islam hari ini. Tafsirnya memperlihatkan refleksi pemikirannya yang mendalam, dan kesinambungan ide yang dipertahankan dengan hujah aqliah, yang berbeza dengan pandangan-pandangan tradisional dan konservatif.

Manhaj Fi Zilāl

Tulisannya menzahirkan tentangan moden, dan cabaran pemikiran baru yang dihadapi dunia Islam kontemporer, yang menampilkan kelainan dari sudut manhaj, dan upaya untuk berganjak dari tradisi dogmatik dalam pendekatan tradisional. Fi Zilāl disifatkan sebagai hasil karya yang unggul yang cukup berkesan dalam menggilap semangat jihad, dan membangkitkan kesedaran dan menggilap ruh perjuangan.

Tafsir ini mengetengahkan manhaj haraki dan tarbawi, yang banyak mengupas isu-isu politik dan memberikan kritikan sosial. Qutb disifatkan sebagai mufassir al-maydan (pentafsir yang bersama di gelanggang dan merasakan denyut nadi rakyat) yang telah memungkinkannya untuk melakarkan tafsiran yang bermakna dan segar, dan menghidupkan erti perjuangan dan pelaksanaannya yang sebenar.

Manhaj yang ditempuh oleh Sayyid Qutb ini diungkapkan dengan tuntas oleh Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi dalam bukunya Fi Zilal al-Qur’an fi al-Mizan:

“Sesungguhnya Sayyid menuruti jalan yang mulia yang ditetapkan oleh para ulama’ tafsir; maka ditafsir al-Qur’an dengan al-Qur’an, kemudian dengan hadith Nabawi, kemudian dengan sirah Rasulullah dan para sahabatnya, kata-kata para sahabat, dan nukilan riwayat yang dikutip dari golongan salafussoleh.”

Manhaj yang digariskan Qutb dalam Fi Zilal adalah bersandar kepada metode adabi ijtima‘i yang menfokuskan kepada tafsiran budaya dan sosial yang mengungkapkan bagaimana menanggapi persoalan masyarakat dan umat daripada kefahaman teks al-Qur’an. Ia turut menggariskan manhaj haraki yang mengarah kepada pemberdayaan dan pemerkasaan gerakan, dan melantarkan ide dan metode yang jelas dalam hala tuju dan idealisme perjuangan.

Fi Zilālil-Qur’an diterjemah ke pelbagai bahasa termasuk Bahasa MelayuTerjemahan tafsir Fi Zilālil-Qur’an telah dikemukakan dalam pelbagai bahasa di dunia termasuk Indonesia, Melayu, Inggeris, Urdu, Turki, German, Parsi, dan Bengali sejak pertama kali dicetak oleh Dar al-Shuruq. Terjemahannya dalam bahasa Melayu telah diusahakan oleh Dato’ Yusof Zaky Yaacob (1928-1999) sebanyak 30 juzuk, seorang penulis dan pengarang besar dan pengasas majalah Dian; Dr Siddiq Fadzil sebanyak 2 juzuk, Ismail Muhammad Hassan dengan Tfasir Surah Ali ‘Imran dan Siti Rabiah Sarnab dengan Tafsir Juzuk ‘Amma.

Usaha ini merupakan sumbangan yang signifikan dalam mengetengahkan pemikiran tafsir Sayyid Qutb ke rantau Melayu. Terjemahan yang dikemukakan oleh Dr Siddiq Fadzil mengungkapkan ketinggian dan kehalusan sasteranya dalam menterjemahkan teks Fi Zilāl, seperti dikemukakan pada surah al-Muddaththir:

Mula-mula junjungan Rasul terjun ke dalam medan pergelutan jiwa untuk menyelamatkan jiwa manusia yang tenggelam lemas dalam samudera kekarutan faham jahiliyah yang teguh bersauh di perut bumi dengan tenaga gravitinya. Untuk melepaskan jiwa manusia yang kaku terbelenggu dengan rantai penjara palsu.”

Pemikiran Sayyid Qutb yang diungkapkan dalam tafsirnya telah memberikan pengaruh dalam mencorakkan tafsiran-tafsiran moden yang bersifat rasional lagi saintifik, dan melahirkan para pejuang Islam dalam medan dakwah yang bukan hanya berpegang kepada teks secara zahir tetapi juga mencernakannya dengan aqal yang rasional dalam penterjemahan agama ini.

 

Tafsir Surah al-Buruj

Tafsir Surah al-Buruj daripada Zilal merupakan bab terakhir yang terdapat dalam buku yang terakhir tulisan Sayyid Qutb iaitu Ma’alim fi at-TariqTafsir Surah al-Buruj daripada Zilal merupakan bab terakhir yang terdapat dalam buku yang terakhir tulisan Sayyid Qutb iaitu Ma’alim fi at-Tariq. Buku ini di terjemahkan sebagai Milestones dalam Bahasa Inggeris atau Petunjuk Sepanjang Jalan. Ia dianggap sebagai buku-teks bagi gerakan dakwah. Bagaimana Ma’alim fi at-Tariq menusuk sanubari mereka yang membacanya adalah sesuatu yang disepakati oleh setiap pemuda yang berada di atas jalan dakwah.

Ma’alim fi at-Tariq membicarakan tentang persiapan yang perlu bagi setiap mujahid yang berikrar untuk berada di atas jalan dakwah. Ia menggariskan secara detail akan segenap persiapan yang bakal menjadi bekalan dalam menghadapi sebarang rintangan di atas jalan yang berduri ini.

Ma’alim fi at-Tariq ini diakhiri dengan satu bab yang dinamakan Hāzā huwat-Tariq – Inilah Jalannya. Bab terakhir ini amat menggetarkan hati dengan tafsiran tentang Surah al-Buruj (Gugusan bintang-bintang) yang menjadi asas persediaan rohani bagi para mujahid. Sepertimana kata Sayyid Qutb: “Surah al-Buruj ini mengemukakan persoalan-persoalan yang amat besar yang memancarkan di sekelilingnya sinaran cahaya yang kuat dan jauh sorotannya. Ia memancarkan di belakang konsep-konsep dan hakikat-hakikat secara lansung yang diungkapkan oleh nas-nas surah ini hingga hampir-hampir setiap ayat dan kalimatnya membuka pintu yang menampakkan sebuah alam hakikat yang luas dan sayup saujana”.

Yang menjadi pokok pembicaraan surah ini ialah peristiwa para pembesar yang menggali parit bagi tujuan menyiksa mereka yang beriman yang dipaksa meninggalkan agama Tawhid. Golongan yang beriman itu dibakar hidup-hidup dihadapan khalayak ramai agar kematian itu dapat disaksikan dengan mata mereka sendiri.

Dan mereka tidak mendendami orang-orang Mu’min itu melainkan semata-mata mereka beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji” [al-Buruj 84: 8]

Surah ini secara selayang pandang menayangkan satu pemandangan yang ngeri yang benar-benar menyentuh perasaan agar merasakan kedahsyatan peristiwa itu tanpa memberi perincian atau penceritaan yang panjang. Ia secara tidak lansung memperlihatkan kebesaran aqidah yang mengatasi penindasan manusia dan mengatasi hayat itu sendiri. Ia adalah aqidah yang menjulang ke puncak kemuliaan yang memberi kebangaan kepada seluruh generasi manusia. Ia juga mempamirkan kekejian pembunuhan itu yang penuh kezaliman, keganasan dan kerendahan budi. Tetapi sebaliknya ia memperlihatkan keluhuran dan kesucian para Mukmin yang dibakar itu.

Iman yang hidup menyala di dalam hati golongan ini telah berhasil mengalahkan ujian itu. Ia memenangkan pilihan aqidah ke atas pilihan ingin hidup terus di dunia yang fana ini. Hati golongan yang beriman tidak berubah dengan ugutan musuh-musuh dan tidak brganjak menghadapi seksaan yang membawa maut. Tidak rela sama sekali menukarkan prinsip hidup dengan kemusnahan aqidah.

Hati mereka telah berhasil membebaskan diri daripada belenggu rasa cita hidup. Hati yang tidak boleh dimainkan oleh bujukan syaitan. Hati yang dengan penuh rela menanti kedatangan maut. Hati yang bebas daripada belenggu keduniaan dan memilih kemenangan aqidah atas segala-galanya.

Mengikut perhitungan duniawi seakan kedurjanaan telah dapat menewaskan keimanan. Seolah-olah keimanan yang begitu tinggi nilainya seakan-akan tiada hitungan markahnya di dalam pertarungan antara keimanan dan kedurjanaan.

Tetapi al-Qur’an mengajarkan sesuatu yang lain untuk difahami oleh mereka yang beriman.  Al-Qur’an membongkar suatu hakikat yang lain iaitu hakikat nilai yang menjadi neraca pertimbangan dan hakikat perjuangan yang pasti ditempuh oleh golongan yang beriman.

Kehidupan duniawi yang dibumbui dengan bebagai jenis kelazatan dan keseronokan bukanlah nilai yamg paling mahal dalam neraca pertimbangan. Kemenangan hakiki bukanlah selama-lamanya bererti kemenangan lahiriyah. Kemenangan sebenarnya ialah kemenangan mengatasi godaan-godaan duniawi, kemenangan menghadapi fitnah dan dugaan, kemenangan kehormatan manusia sepanjang zaman. Demikian inilah kemenangan sejati.

Kisah ini menurut Sayyid Qutb perlu dijadikan contoh bgaimana perlunya sikap istiqamah dan ketegasan pendirian memegang “iman” dengan penuh keyakinan bahawa perjuangan ini tidak hanya berakhir di sini sahaja; di dunia yang fana ini. Yang pentingnya ialah melakukan tugas dengan bersugguh dan penuh tangggungjawab. Ganjarannya pasti menanti. Cuma bagaimana bentuk dan coraknya akan ditunjukkan Allah apabila tiba masanya. Kita tidak perlu risau akan hasil jihad dan dakwah ini kerana hasilnya ialah urusan pemiliknya, Pemilik Agung Yang Maha Adil.

 

Kesinambungan Fikrah dan Legasi Perjuangannya

Sayyid Qutb hidup dalam perjuangan dan akhirnya syahid ditali gantung atas keyakinan yang diungkapkannnya ini. Legasi perjuangan asy-Syahid Sayyid Qutb telah menzahirkan pengaruh yang besar dalam pemikiran dan perjuangan Ikhwan. Gerakan Islam moden yang lain juga banyak dicorakkan oleh pemikiran dan idealisme perjuangannya yang dizahirkan dalam Fi Zilalil Qur’an.

Usaha mengangkat dan menyemarakkan fikrah perjuangannya harus dilanjutkan, dan upaya untuk memperjelas ideologi dan semangat perubahan yang dititipkannya harus dimulakan. Organisasi Islam yang mencanangkan ide reformasi harus memperhebat usaha ke arah menzahirkan kekuatan dan relevensi pemikiran Sayyid Qutb dalam dunia Islam kontemporer, khususnya di belahan nusantara ini yang lebih terkesan dengan fikrah dan ijtihadnya.