[Dunia Buku] Sejarah Ikhtilaf Mazhab Di Malaysia

Nama buku: Sejarah Ikhtilaf Mazhab Di Malaysia (Suatu kajian Tentang Perkembangan Pemikiran Tajdid dan Islam)

Penulis: Dr Abdul Rahman Hj Abdullah

Terbitan: Karisma Publications Sdn Bhd, Tel: 6035569 2430 /31 /35

Tebal:343 hal.

Harga: RM30

Carian: google.com


Kata pengantar penulis:

Kalam Pengantar
Bismillahir-Rahmanir-Rahim

Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinNya risalah ini dapat disiapkan, serta selawat dan salam kepada Junjungan Nabi Muhammad S.A.W dan para Siddiqin, para syuhada' dan para solehin yang dimuliakan semuanya.

Gerakan tajdid (pembaharuan) atau islah (perbaikan) dalam sejarah pemikiran Islam mempunyai dua kategori: tajdid kulli (makro) dan tajdid juz’i (mikro). Jika tajdid kulli bersifat menyeluruh atau meliputi aspek agama dan kehidupan seluruhnya, tetapi tajdid juz’i tertumpu pada aspek tertentu sahaja, seumpama tentang aspek agama, baik dalam bidang Tauhid, Tasawwuf dan Fiqh. Demikian juga dengan gerakan islah, ada islah agama, islah ilmu, islah sosial, islah ekonomi dan sebagainya.


Dengan munculnya gerakan islah ini maka tercetuslah konflik dan khilafiah agama dengan golongan tradisional. Di Malaysia, sejak sekian lama umat Islam telah dihadapkan dengan isu-isu khilafiah agama, khususnya dalam bidang Fiqh seumpama masalah usalli, talqin, qunut, jumlah rakaat dalam solat tarawih, dan lain-lain lagi. Kontroversi dalam persoalan agama ini tidak pernah selesai dalam kalangan golongan tradisionalis dan golongan reformis. Malah ada kalanya agak meruncing kerana masing-masing pihak menuju ke arah titik ekstrim (ifrat wat-tafrit). Jika sikap ekstrim dalam kalangan tradisionalis sampai menolak sama sekali sebarang usaha tajdid, sebaliknyn dari pihak reformis cuba merobohkan segala yang lama dan menggantikannya dengan yang baru, sehingga lebih tepat digelar sebagai usaha rabdid atau tajaddud. Tindakan penghancuran itu berlaku kerana bagi kaum muda, telah lama berkembang gejala-gejala kerosakan (fasad) yang memerlukan perbaikan (islah) segera, baik secara individu (fardi) mahupun secara kolektif (jama’i).


Dalam usaha menjejaki latar belakang konflik dan kontroversi mazhab ini, pihak penulis telah menyusun risalah tentang sejarah dan pemikiran tajdid atau islah di Malaysia, agar para pembaca dapat memahami arah perjuangannya serta titik-titik perbezaannya dengan aliran tradisional mengenai isu-isu khilafiah tersebut. Bahagian pertama buku ini membahas perkembangan terlebih dulu tentang latar belakang sejarah gerakan islah. Bahagian kedua pula membahas secara menyeluruh gerakan tajdid atau islah di Malaysia. Manakala di bahagian ketiga membahas secara khusus perkembangannya di Perlis, iaitu satu-satunya negeri yang secara rasmi dalam Perlembagaan Negerinya mendaulatkan ajaran islah dan menolak amalan bermazhab (Syafie).


Sebenarnya penulis bukanlah orang pertama yang mengupas tentang masalah khilafiah di Malaysia. Sebelumnya, atas inisiatif Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), mereka menerbitkan terjemahan buku Adab al-Ikhtilaf fil-lslam (1989) oleh Dr. Taha Jabir al-Alwani serta Adab Berijtihad dan Berikhtilaf mengikut Syariat (2001) oleh Dr. Abdul Halim el- Muhammady. Sebelum itu Dr. Abdul Halim telah menerbitkan buku Perbezaan Aliran Mazhab Fiqh (ABIM, 1980) yang berasaskan disertasi Ph.D.nya yang berjudul The Development of Ikhtilaf di Universiti St. Andrews, Scotland. Juga terdapat karya Dr. Basri Ibrahim al-Hasani al-Azhari, iaitu Khilafiah, Bid’ah dan Maslahah umum (1997), karya Dr. Zulkifli Mohammad al-Bakri, Menyelusuri Ikhtilaf Mazhab (2005), dan juga Perbezaan Pendapat di Kalangan Mazhab (2005), karya Dr. Azwira Abdul Aziz, et al., Khilaf dalam Islam Sebab dan Adah (2008), serta terjemahan Karya Dr. Ali Jum’ah, Mufti Mesir, yang berjudul Penjelasan terhadap Masalah-Masalah Khilafiah (2008). Mutakhir ini tokoh yang sering menulis dan berceramah tentang persoalan ikhtilaf ini ialah Haji Mohd. Saleh Haji Ahmad dari Universiti Islam Antarabangsa (sebelumnya Prof. Madya di Universiti Malaya)


Akhirnya, penulis terutama sekali memohon maaf di atas segala kelemahan dan kesilapan yang terkandung di dalam buku ini. Kepada pihak penerbit yang mengusahakan penerbitan buku ini, diucapkan Jazakallahu Khairan Kathir. Penghargaan juga ditujukan kepada anak-anak penulis, Zaid, Fatihah dan Naim, yang membantu menaipkan naskhah ini.


Dr. Abdul Rahman Hj.Abdullah

Pulau Pinang. (04-5737261)

9 Mac 2009/ 12 Rabiulawal 1430

 



Muka hadapan buku:

ikhtilafmazhabmalaysia_600px

 

Muka belakang buku:

ikhtilafmazhabmalaysia_2_600px

 


Isi kandungan buku:
Prakata

Bahagian Pertama:

LATAR BELAKANG SEJARAH

BAB 1: GERAKAN ISLAH: ZAMAN KLASIK

Khalifah Umar Abdul Aziz

Imam Ahmad bin Hanbal

Imam Abul Hassan Al-Asyari

Imam Abu Hamid AI-Ghazali

Imam Taqiuddin Ibnu Taimiyah

BAB 2: GERAKAN ISLAH: ZAMAN MODEN

Syeikh Ahmad Sirhindi

Syah Waliullah al-Dihlawi

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab

Sayyid jamaluddin al-Afghani

Syeikh Muhammad Abduh

 

Bahagian Kedua:

GERAKAN ISLAH DI MALAYSIA

BAB 3: SEJARAH ISLAH DI MALAYSIA

Negeri-Negeri Selat

Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu

Perkembangan Mutakhir

BAB 4: PEMIKIRAN ISLAH DI MALAYSIA

Ilmu Fiqh

IlmuTauhid

Ilmu Tasawwuf

BAB 5: PENILAIAN

Masalah Khilafiah

Kaedah Talfiq

Kaedah Tarjih (Dalam Akhlak)

 

Bahagian Ketiga:

GERAKAN ISLAH D1 PERLIS

BAB 6: SEJARAH ISLAH DI PERLIS Latar Belakang Sejarah Perlis Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis Gerakan Islah di Perlis

BAB 7: PEMIKIRAN ISLAH DI PERLIS

Aspek Ibadah

Aspek Jenazah

Aspek Aqidah

BAB 8: PENILAIAN

Konsep Ahli Sunnah wal-Jamaah

Konsep Mazhab

Konsep Tafrit

Lampiran

 

Kategori Berita: