:)
Haji merupakan rukun islam kelima. wajib pergi jika mampu.
Dlm persoalan ini bolehkah kalau kita berhutang utk mengejakan haji. Mungkin sbg anak kita nak menghantar ibu atau ayah melakukan haji. dr segi perbelanjaan kedua-duanya telah pun berusaha tetapi belum cukup dan keinginan memuncak utk pergi juga pada tahun sekian-sekian. Jadi sbg anak mungkin akan membantu tetapi melalui pinjaman utk menampung Rm1000 atau Rm2000 yg tak cukup itu. nak bagi duit simpanan tak ada jadi melalui pinjaman ini. apakah keharusan bagi islam utk melakukan seperti ini ataupun ianya tidak digalakkan. wallahualam
:smirk:
Jawab:
Boleh tapi tidak digalakkan. Itulah maksud syara' pada kalimah mampu yakni tidak berhutang utk Haji. Fatwa Haiah Kibr Ulama', kerajaan Arab Saudi, kitab alUjwibah an nafi'ah 'an al wasail al waqi'ah Dr Abdul Rahman alfarisi, Riyadh, KSA
Assalamu'alaikum
Sebagai tambahan kepada jawapan Sheikh THTL, saya cut & paste fatwa Mufti Brunei dari laman Irsyad.
WAJIB HAJI BUKAN KERANA LAMBAIAN
(Bilangan 92 Bahagian Akhir)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
ISTITHA’AH
ISTITHA’AH (berkuasa) mengerjakan haji itu ada dua bahagian iaitu berkuasa pergi melaksanakan haji dengan dirinya sendiri dan berkuasa menunaikan haji dengan perantaraan orang lain.
Menurut ulama Syafi’eyah, berkuasa mengerjakan haji dengan dirinya sendiri itu mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu:
1. Mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa melaksanakan fardu haji, dan juga sara hidup bagi orang yang wajib dibelanjainya semasa dalam pelayarannya serta perbelanjaannya itu melebihi dari hutangnya.
2. Ada kenderaan seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada miliknya sendiri atau dia mampu menyewanya dengan sewaan biasa menurut tempat dan masa. Syarat ada kenderaan bagi yang hendak mengerjakan haji itu hanya dikenakan kepada orang yang jauh tempat tinggalnya dengan Mekah dua marhalah atau lebih iaitu kadar yang membolehkan diqasar sembahyang. Kedua-dua syarat iaitu bekalan dan kenderaan itu disebut dalam hadis riwayat Ibnu Umar dengan katanya yang maksudnya:
"Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka lelaki itu berkata (bertanya): "Ya Rasulullah, apakah yang mewajibkan haji itu?’’ Baginda menjawab: "Bekalan dan kenderaan.’’ (Hadis riwayat Al-Tirmidzi).
Berdasarkan hadis di atas bagi orang yang tidak mempunyai bekalan dan kenderaan tidak wajib ke atasnya mengerjakan haji. Menurut Ibnu Hajar tidak wajib di atas orang Islam mencari bekalan dan kenderaan untuk pergi haji dengan cara meminta-minta kepada orang lain atau menerima pemberian daripada orang lain atau dengan cara berhutang, kecuali dia mendapat bekalan dan seumpamanya itu daripada harta yang sedia ada di tangannya.
Bagi orang yang memiliki belanja yang melebihi dari keperluan dirinya dan tanggungannya sepanjang pemergiannya untuk mengerjakan haji maka haji adalah wajib ke atas orang tersebut. Demikianlah sebaliknya sekiranya belanja tersebut tidak melebihi keperluan diri dan tanggungannya maka tiadalah wajib haji ke atasnya.
Adapun orang yang memiliki harta yang memberi hasil kepadanya dan hasil tersebut tidak melebihi kadar keperluan diri dan tanggungannya seperti tanah atau rumah sewa dan seumpamanya tetapi apabila dijual harta berkenaan, hasil jualan tersebut akan membolehkan dia mengerjakan haji dan melebihi keperluan tanggungannya sepanjang pemergian haji, maka menurut qaul yang ashah dalam Mazhab Syafie haji adalah wajib ke atas orang tersebut.
Walau bagaimanapun tidak wajib menjual rumah tempat kediamannya dan perkakas rumah untuk mengerjakan haji kerana semua perkara itu adalah keperluan yang sangat dihajati (dharuri) dan Islam tidak membebankan umatnya untuk menunaikan haji jika belum berkemampuannya dan cukup syarat-syaratnya.
ORANG BERHUTANG UNTUK MENGERJAKAN HAJI
Oleh kerana terlalu ghairah untuk menunaikan haji sebahagian orang memaksa dirinya berhutang untuk tujuan tersebut. Berhutang itu mengandungi risiko yang boleh menyusahkan di dunia dan di akhirat.
Antara hadis yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Malik yang maksudnya:
"Dan jauhkanlah diri kamu dari hutang, kerana sesungguhnya (hutang itu) awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya.’’ (Hadis riwayat Malik).
Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
"Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung dengan hutangnya sehinggalah hutangnya itu dibayar.’’
(Hadis riwayat Al-Tirmidzi).
Di zaman Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah ditanya kepada Baginda mengenai orang yang tidak berupaya pergi menunaikan haji. Adakah dia perlu berhutang kepada orang lain supaya dapat pergi berhaji? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak membenarkannya. Perkara ini disebutkan dalam hadis Baginda yang maksudnya:
"Aku pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkenaan dengan seorang lelaki yang tidak (dapat) pergi berhaji: "Adakah dia boleh berhutang untuk pergi berhaji?’’ Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab: "Tidak." (Hadis riwayat Al-Baihaqi).
Imam Al-Nawawi menyebutkan bahawa sekalipun orang yang memberi hutang itu rela supaya hutang itu dibayar semula selepas menunaikan haji, maka tidak wajib ke atas orang yang berhutang itu menunaikan haji. Oleh yang demikian apabila sudah tidak wajib ke atas orang yang sudah sedia ada hutang dengan sebab hutangnya itu maka lebih utama lagi tidak wajib berhutang untuk pergi berhaji. (Al-Majmuk: (7/56).
Agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji para ulama telah menjelaskan syarat-syarat tertentu yang amat padat, kemas dan ringkas berdasarkan Al-Quran, hadis dan ijmak. Jika syarat-syarat itu tidak dapat dipenuhi oleh seseorang maka haji tidak wajib baginya walaupun haji itu salah satu daripada rukun Islam. Ini membuktikan bahawa agama Islam itu agama rahmat dan tidak menyusahkan umatnya.
Oleh yang demikian, bagi orang yang ingin mengerjakan haji yang wajib ke atasnya, tidaklah perlu menyusahkan dirinya dengan berhutang. Lebih-lebih lagi bagi haji yang dikerjakan itu kali kedua atau seterusnya. Berhutang kerana tujuan ini adalah dilarang oleh agama kerana hutang itu akan menjadi bebanan dan menyusahkannya sebagaimana yang disebut oleh hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Agama Islam juga tidak membenarkan umatnya melakukan sebarang ibadat kepada mereka yang tidak berdaya melakukan haji seperti orang tua atau orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh.
Bagi mereka yang lemah dari menunaikan haji dengan sendiri seperti orang yang sangat tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh sedang dia mempunyai harta yang melebihi dari keperluan dirinya dan tanggungannya maka wajib dia mencari seseorang untuk mengerjakan haji bagi pihak dirinya iaitu dengan izin atau kebenarannya atau dengan membayar belanja kepada orang yang menggantikannya itu. Disyaratkan juga bagi orang yang menggantikan itu telah melakukan haji bagi dirinya sendiri.
Dari apa yang dijelaskan di atas kewajipan mengerjakan haji itu bukan hanya semata-mata tertakluk kepada istilah ‘lambaian’ tetapi haji itu wajib apabila seseorang itu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.
sumber : http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2000/ic6_2000.htm
=======
خيرالأمين