SJ-03-0128 : Masalah wuduk dan air mustakmal

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-03-0128 : Masalah wuduk dan air mustakmal

:salam

saya ada soalan berkenaan air mustakmal (boleh tolong bagi yang arabnya untuk mustakmal).

1) dalam mazhab syafei, yang mana dikira air mustakmal ?

2) Bolehkan seorang muslim mengambil wuduk dengan air yang telah digunakan untuk berwuduk oleh seorang muslim yang lain?
adakah ini sebenarnya yang dimaksudkan dengan air mustakmal ?

3) ada seorang muslim yang taat, beliau tidak suka kalau ada air wuduk daripada orang sebelah beliau terpercik kepadanya.
Beliau kira sebagai air mustakmal dan tidak sah wuduknya.

betulkah apa yang diyakini beliau?
air mustakmal yg macam mana yang dikira tidak sah wuduk dalam mazhab syafei... adakah air yg terpercik sikit2 itu dikira tidak sah wuduk?

jawapan daripada panel al-ahkam amatlah dihargai

sekian, terima kasih

:wassalam

Re: Masalah wuduk dan air mustakmal

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Air musta'mal dieja dalam bahasa Arab الماء المستعمل

1- Dalam Mazhab Syafie, yang dimaksudkan air musta'mal ialah air yang digunakan dalam taharah yang fardhu.

Contohnya dalam masalah wudhuk, air musta'mal ialah yang digunakan untuk membasuh muka pada basuhan pertama. Begitu juga yang digunakan untuk membasuh tangan, kaki pada basuhan pertama sahaja.

Jadi, yang digunakan untuk basuhan sunat tidak dikira sebagai musta'mal. Ia tetap kekal dengan status air mutlaq. Contohnya, air basuhan muka pada kali kedua dan ketiga. Begitu juga air yang digunakan pada wudhuk orang yang masih tidak berhadas (memperbaharui wudhuk') tidak dimasukkan dalam kategori air musta'mal.

Dalam Matan Minhaj Talibin:

والمستعمل في فرض الطهارة قيل ونفلها غير طهور

Maksudnya "Air yang digunakan dalam taharah yang fardhu -ada pendapat: dan juga sunat- adalah tidak menyucikan".

Ulama Syafieyyah meletakkan syarat untuk dikira air musta'mal ialah:

1- Air itu sedikit (kurang dua qullah).
2- Digunakan dalam basuhan fardhu.
3- Air itu berpisah dari anggota.
4- Bukan niat untuk dijadikan cebuk.

(I'anah al-Talibin 1/38)

2- Air yang telah digunakan oleh orang lain dalam mengambil wuduk adalah air musta'mal. Hukum menggunakan air ini ada khilaf di kalangan fuqaha. Pendapat yang lebih berjaga-jaga ialah tidak menggunakan air ini supaya dapat keluar daripada khilaf. Lagipun air yang sudah digunakan mungkin terdapat kotoran daripada daki-daki dll.

3- Dalam Mazhab Syafie sendiri, air musta'mal adalah suci cuma tidak menyucikan. Jadi tidak timbul persoalan air musta'mal orang bersebelahan terpercik lalu terkena kita, menyebabkan tidak sah wudhuk.

Kerana terlalu menyusahkan diri hingga takut terkena percikan air orang sebelah adalah satu perbuatan ghuluww (melampau dalam agama). Dalam sirah ada menyebut para sahabat yang ramai berwudhuk dari satu bekas sahaja. Bilangan mereka antara 70-80 orang berwudhuk dari satu bekas. Ada riwayat menyebut sehingga 300 orang. Semuanya riwayat sahih yang direkod dalam Bukhari dan lain-lain. Tidak timbul masalah air terpercik lalu membatalkan wudhuk orang lain.

Wallahu A'lam.