SJ-07-0211 : Hukum bertanya status mayat?

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-07-0211 : Hukum bertanya status mayat?

Salam,

Saya dapati hampir setiap majlis kematian yang saya hadiri kini, selepas sahaja solat jenazah, imam akan bertanya dengan suara yang lantang "Apa kita katakan ke atas mayat ini?" lalu dijawab oleh para makmum "Baik". Perkara ini diulangi sebanyak 3 kali. Saya merasakan perkara ini dilakukan bersandarkan kepada hadis sahih riwayat Muslim seperti berikut:

Hadis Anas bin Malik r.a katanya:
Ketika satu jenazah diiringi, orang ramai memuji jenazah tersebut sebagai orang baik iaitu semasa hidupnya, maka Nabi s.a.w pun bersabda mengenainya: Wajib, wajib, wajib. Lalu datang pula iringan jenazah yang kedua, orang ramai mengutuk mengenai jenazah tersebut sebagai orang yang jahat semasa hidupnya. Nabi s.a.w pun bersabda: Wajib, wajib, wajib. Umar berkata: Menjadi penebusmu, ayah dan ibuku! Ketika jenazah pertama diiringi, orang ramai memujinya sebagai orang baik, lalu kamu berkata: Wajib, wajib, wajib. Kemudian ketika jenazah kedua diiringi, orang ramai mengutuknya sebagai orang yang jahat, kamu juga berkata: Wajib, wajib, wajib. Apa ertinya? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang kamu puji sebagai orang baik, maka diwajibkan kepadanya Syurga. Sedangkan orang yang kamu katakan sebagai orang yang jahat, maka diwajibkan kepadanya Neraka. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi. Kamu sekalian adalah saksi Allah di muka bumi.

Dalam hadis tersebut apa yang saya faham orang ramai memuji dan mencela mayat itu dari luahan mereka sendiri, bukan dirancang-rancang atau dipakat-pakat. Dan pujian atau celaan itu dibuat secara kebetulan setelah mayat itu diiringi dihadapan mereka.

Tetapi apa yang diamalkan oleh masyarakat kini adalah dengan sengaja pula bertanya dihadapan mayat supaya akan dijawab oleh hadirin dengan jawapan yang baik. Saya merasa agak pelik kerana seolah-olah "memaksa" untuk hadirin menjawab "Baik" walaupun mungkin sebenarnya ada dikalangan hadirin sendiri ketika itu di dalam hatinya merasakan si mati memang seorang yang teruk.

Mohon betulkan jika saya tersalah, tapi bukankah kata-kata terhadap mayat samada baik atau buruk yg dimaksudkan oleh hadis di atas itu membawa erti sebagai kata-kata yg diucapkan secara bebas oleh hadirin? Ada org pernah berkata "ah bukan siapa paksa pun, kalau tak nak jawab kau diam aje lah". Saya jawab "memang la, tapi yg sampai bertanya depan mayat tu kenapa pula, dalil mana?" Dia senyap. Bagi saya isunya disini bukan jawab atau diam, tapi dikhuatiri perbuatan ini dilakukan atas salah pemahaman terhadap hadis rasulullah saw.

Mohon penjelasan tuan akan perkara ini. Terima kasih.

Offline
Joined: 01/01/1970 - 7:30am
Re: Hukum bertanya status mayat?

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Amalan yang dilakukan oleh masyarakat kita pada masa ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam, dan sebagaimana mana yang dinyatakan, ia merupakan amalan yang dilakukan pada zaman dahulu. Namun demikian, tidak kira apa niat seseorang itu, Allah yang sahaja dapat menentukannya. Kita berhukum diatas perkara yang zahir.

Benarlah amalan berkata baik kepada seseorang itu datang dari sebuah hadith sahih, berkata Anas bin Malik ra. :-

مر بجنازة فأثني عليها خيرا فقال نبي الله صلى الله عليه وسلم وجبت وجبت وجبت ومر بجنازة فأثني عليها شرا فقال نبي الله صلى الله عليه وسلم وجبت وجبت وجبت قال عمر فدى لك أبي وأمي مر بجنازة فأثني عليها خير فقلت وجبت وجبت وجبت ومر بجنازة فأثني عليها شر فقلت وجبت وجبت وجبت فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم من أثنيتم عليه خيرا وجبت له الجنة ومن أثنيتم عليه شرا وجبت له النار أنتم شهداء الله في الأرضأنتم شهداء الله في الأرض أنتم شهداء الله في الأرض
“Ketika iring-iringan membawa jenazah lewat, orang-orang memuji jenazah dengan kebaikan, kemudian Nabi saw. bersabda: Wajib, wajib, wajib. Lalu lewat pula iringan jenazah lain, orang-orang mencelanya dengan keburukan, kemudian Nabi saw. bersabda: Wajib, wajib, wajib. Umar berkata: Menjadi penebusmu, ayah dan ibuku! Ada iringan jenazah lewat dan orang-orang memujinya sebagai orang baik, lalu engkau mengatakan: Wajib, wajib, wajib. Lewat pula iringan jenazah lain yang disifati sebagai orang jahat, lalu engkau mengatakan: Wajib, wajib, wajib. Apa artinya itu? Rasulullah saw. bersabda: Orang yang kamu puji sebagai orang baik, maka wajib baginya syurga, sedangkan orang yang kamu katakan sebagai jahat, maka wajib baginya neraka. Kamn adalah para saksi Allah di bumi. Kalian adalah para saksi Allah di bumi. Kalian adalah para saksi Allah di bumi. “[Hadith Riwayat Imam Muslim No.1578].

Begitu juga didalam sebuah hadith yang menjelaskan bahawa kata-kata baik dari seseorang jiran juga dianggap do’a agar Allah swt .

ما من مسلم يموت فيشهد له أربعة من أهل أبيات جيرانه الأدنين أنهم لا يعلمون إلا خيرا , إلا قال الله ، عز وجل : قد قبلت قولكم ، أو قال : شهادتكم , وغفرت له ما لا تعلمون
“Tidak ada sesorang Muslim yang mati apabila empat orang jiran memberi keterangan bahawa mereka tidak tahu yang lain mengenai mayat ini melainkan perkara baik yang dilakukan. Melainkkan Allah akan berkata : Aku terima semua kesaksian kamu dan mengampunkan semua dosa-dosanya yang kamu tidak tahu” [Hadith Riwayat Musnad Abu Ya‘la, Sahih Ibnu Hibban; Sahih At-Targheeb H/3515; Talkhees P. 26.]

Malah, Fatwa dari al-Lajnah al-Daaemah [9/154-155] menyebut :

وأما مجرد الثناء عليه عند ذكره ، أو مرور جنازته ، أو للتعريف به بذكر أعماله الجليلة ونحو ذلك مما يشبه رثاء بعض الصحابة لقتلى أحد وغيرهم ، فجائز ؛ لما ثبت عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : ( مروا بجنازة فأثنوا عليها خيرا . فقال صلى الله عليه وسلم : وجبت ، ثم مروا بأخرى فأثنوا عليها شرا فقال : وجبت . فقال عمر رضي الله عنه : ما وجبت ؟ قال : هذا أثنيتم عليه خيرا فوجبت له الجنة ، وهذا أثنيتم عليه شرا فوجبت له النار ، أنتم شهداء الله في الأرض ) – متفق عليه
“Pujian baginya apabila disebut, atau apabila jenazah lalu dihadapannya, atau dengan cara memberitahu orang lain akan kebaikkan yang dia lakukan atau seumpamanya, merupakan mirip cara yang dilakukan oleh beberapa sahabat yang memuji-muji mereka yang syahid di perang Uhud dan lain-lain, dan ia dibenarkan, sebagaimana hadith Riwayat Anas bin Malik ra yang berkata : Jenazah melewati mereka dan mereka berkata baik mengenainya, dan Nabi :saw bersabda : wajib (pasti). Kemudian lalu lagi jenazah dan mereka berkata buruk mengenainya, dan baginda berkata : wajib (pasti). Umar ra berkata : Apa yang pasti? Rasulullah saw. bersabda: Orang yang kamu puji sebagai orang baik, maka wajib baginya syurga, sedangkan orang yang kamu katakan sebagai jahat, maka wajib baginya neraka. Kamn adalah para saksi Allah di bumi. Kalian adalah para saksi Allah di bumi. Kalian adalah para saksi Allah di bumi [Hadith Muttafaq ‘Alaih].”

Fatwa ini jelas membenarkan puji-pujian selepas pengkebumian atau ketika jenazah melaluinya dilakukan. Amalan yang dilakukan secara “formal” dikalangan masyarakat Melayu kita ini tidak menyalahi sunnah, malah jika amalan ini dihapuskan, berkemungkinan besar sunnah ini akan ditinggalkan selama-lamanya. Tidak mengapalah cara dilakukan itu kelihatan seperti memaksa, akan tetapi cuba kita fikir-fikirkan, apabila tiada lagi amalan tradisi ini, apakah amalan yang terbaik untuk menggantikannya? Sudahkah kita mempunyai alternatif lain? WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين