Saya menganjurkan program ihya' ramadhan al mubarak. ada di antara mereka membayar zakat untuk tujuan diagihkan kepada murid miskin dan anak yatim (murid sekolah saya).
Saya telah agihkan sumbangan itu dengan membeli baju dan keperluan dapur untuk murid2 tersebut. Tetapi ada juga yang memberi sumbangan untuk tujuan pembiayaan program2 yang dianjurkan sepanjang bulan ramadhan.
Saya asingkan duit tersebut dan masih berbaki sebanyak rm600. Jika saya gunakan duit tersebut untuk keperluan kebajikan murid2 lain spt membeli selipar surau, first aid, rehal, dll, boleh ke?
Apa hukumnya saya mengutip wang tersebut? dan salah ke saya agihkan duit zakat tersebut tanpa melalui amil?
JAWAPAN :
Hukumnya adalah tidak salah jika pihak saudara mengambil duit zakat tersebut untuk diagih-agihkan kepada anak-anak yatim dan miskin yang terdapat di sekolah saudara.Ini kerana dengan cara tersebut agihan zakat akan dapat dibuat dengan kadar segera tanpa masalah birokrasi yang sememangnya menyulitkan keadaan.
Tujuan amil yang dilantik oleh pihak pemerintah adalah untuk memudahkan proses pembayaran zakat oleh orang ramai yang kesuntukan masa untuk mencari 8 asnaf yang layak diberikan zakat.Malah dengan melalui wakil / amil tersebut pengagihan zakat dapat dibuat dengan mudah kepada golongan yang layak.
Tapi sekiranya , pihak saudara dapat mengagihkan zakat yang diberikan oleh orang ramai kepada golongan yang berhak di sekolah saudara , maka cara tersebut adalah yang terbaik kerana pengagihan dapat terus dilakukan tanpa dilengah-lengahkan.Ini kerana mempercepatkan pengagihan zakat kepada yang layak adalah merupakan sebahagian daripada Sunnah Rasulullah saw.
Pembayaran zakat sebenarnya terbahagi kepada 2 kategori :
1. Harta yang tidak nampak (batin) : seperti duit , emas , perak dan sebagainya .
2. Harta yang nampak / diketahui ( zahir ) : seperti binatang ternakan , buah-
buahan , tanaman dan sebagainya .
Bagi harta jenis pertama , pemilik harta berhak untuk mengeluarkan zakat terhadap harta tersebut dengan mengagihkannya secara sendiri kepada golongan yang layak tanpa melalui amil / imam yang dilantik.Malah amil / imam tersebut tidak boleh / harus meminta-minta kepada pemilik barang tersebut untuk mengeluarkan zakat kepadanya.
Manakala bagi harta jenis kedua pula , amil / imam berhak untuk memungut atau meminta kepada pemiliknya zakat terhadap harta tersebut , berdasarkan maksud firman Allah swt dalam surah al-Taubah ayat 103 :
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”
Sekiranya tidak dituntut atau diminta oleh amil / imam , maka pemilik harta tersebut mempunyai pilihan samada untuk membayarnya kepada amil / imam untuk diagihkan atau mengagihkan zakat tersebut sendiri kepada golongan yang layak.
Bagi orang awam yang mengagihkan zakat secara sendiri kepada golongan yang layak tanpa melalui amil adalah dibolehkan malah merupakan cara yang terbaik , kerana pengagihan zakat dapat dibuat dengan segera.Tetapi sekiranya kita tidak tahu dan arif golongan yang layak diberikan zakat , maka bolehlah diibayar kepada imam / amil yang dilantik.
WA
Ust al-Jawhar al-Yamani
Panel Fiqh Bersekutu AAN (Associate Fiqh Panel) (kiriman melalui thtl)
Rujukan :
Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam as-Syafie , Dar al-Qalam , Damsyik.
Taudhih al-Ahkam min bulughu al-Maram , As-Syeikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam , Maktabah Al-Asadi
Wasalam