Ust Ali Muda: ASTORA JABAT PENDUSTA AGAMA 2

Oleh: Ustaz Ali Muda

Hujah-hujah saya untuk menyanggah Astora secara ilmiah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pengguna e-mel. Ramai di kalangan mereka melahirkan rasa terima kasih kerana terlepas daripada keresahan selama ini akibat pelbagai kekeliruan yang dicipta Astora, namun apalah daya mereka sebagai orang awam yang tidak berpeluang mempelajari B. Arab dan mendalami syariah Islam. Jadi mereka hanya meneguhkan pendirian yang selama ini diyakini dan memendamkan perasaan tidak puas hati terhadap Astora. Kerana itu di kalangan mereka ada yang utuskan e-mel kepada Astora dengan mengeluarkan kata-kata kesat, sumpah seranah kerana itu sahaja yang mereka mampu lakukan, sedang mereka tahu Astora berada atas landasan yang salah dan cuba mempengaruhi orang lain untuk terjerumus sama.

Namun sebenarnya, bukan ucapan terima kasih daripada mereka itu yang saya harapkan, tetapi kerana terasa terpanggil untuk memberi penjelasan kepada umat Islam –khususnya- di Malaysia bahawa apa yang dinamakan Astora sebagai Bicara Agama itu, sebahagian besar daripadanya adalah ‘Dusta Agama’ seperti yang telah saya hujahkan dalam artikel Astora Pendusta Agama (siri I) yang lalu. Lihat home page : http://www.parti-pas.org , koleksi berita 01-15/9/ 99. Kemampuan saya juga terhad. Ruang tidak diberikan kepada saya –mungkin tidak disengajakan- dalam akhbar-akhbar harian, sebagai mana diberikan kepada Astora dan penulis-penulis yang ‘sama waktu’ dengannya, yang memalu gendang orientalis dan sekularis. Maka itu, internet menjadi gelanggang saya walaupun kelebihan berada di pihak Astora dari segi keramaian pembaca. Bagaimana Astora mendakwa dia sebagai orang yang terbuka dan rasional, sedangkan tidak berani menyiarkan artikel-artikel yang menyanggahnya secara ilmiah dan objektif? Surat-surat e-mel yang disiarkannya hanyalah, sama ada yang menyokongnya 100 peratus atau yang menghentamnya 100 peratus. Surat jenis pertama biasanya tidak diulas panjang kerana sudah menepati citranya, tetapi surat jenis kedua akan diulas panjang lebar, kononnya untuk memberi kesedaran kepada penulisnya agar terbuka sedikit mindanya dan bersedia menerima percanggahan pendapat dalam gelanggang ‘pemikiran Islam’nya. Di sini Astora menang kerana dapat menggambarkan bahawa semua pengkritiknya adalah pengkritik membuta tuli, fanatik, tidak rasional, ikut perasaan dan tiada hujah untuk menyanggahnya. Tetapi apakah di sana tiada langsung pengkritik yang objektif mengemukakan hujah lebih bernas? Sebenarnya ada, tetapi Astora tidak berani menyiarkannya kerana bimbangkan kredibilitinya di mata khalayak yang kagum dengannya akan terjejas lalu pecahlah tembelangnya. Pihak akhbar perdana juga tidak memberi ruang kepada artikel-artikel –yang pada pertimbangan akal budi mereka yang rendah- sebagai suara pembangkang.

Dalam jawapan kepada e-mel Delitha Deli (MM, 29/9/99), Astora antara lain berkata, “Penulis tidak menjawab tulisan orang Pas yang mempertikaikan tentang hukum hudud yang dibincangkan oleh penulis kerana dia dan ramai orang Pas lain terlalu ghairah untuk membuat kecaman dan menghukum dengan bermacam-macam hukuman, padahal ruangan Bicara Agama baru membincangkan beberapa pandangan dan masih banyak pandangan lain yang akan dibincangkan”. Di sini nampaknya Astora telah gelabah sedikit, kerana apabila tembelangnya telah didedahkan, yang antara hujah-hujah yang dikemukakan pengkritiknya yang objektif menunjukkan dia tidak jujur dalam mendedahkan Islam itu kepada khalayak, maka sudah nampak sedikit pencak silatnya agak sumbang. Alasan dia tidak menjawab semula sanggahan pengkritiknya dikatakan sebagai “…kerana dia dan ramai orang Pas lain terlalu ghairah membuat kecaman..…padahal ruang Bicara Agama baru membincangkan beberapa pandangan…” .

Adakah hujah-hujah saya dalam artikel Astora Pendusta Agama dan artikel-artikel lain itu merupakan kecaman melulu? Para pembaca sekalian dapat menilai sendiri jika membacanya dengan niat untuk mencari kebenaran, bukan fanatik kepada satu-satu kumpulan. Sebaliknya, ternyata Astoralah yang membuat tuduhan melulu dan ghairah membuat kecaman apabila ada orang yang mampu menangkis hujah-hujahnya yang batil itu secara ilmiah, lalu dituduhnya –secara melulu- penulis artikel itu sebagai orang Pas. Memang Astora ni seorang yang fanatik totok terhadap kumpulan atau parti yang dia suka. Bila ada orang kritik dia, terus dituduh orang itu sebagai ahli parti yang dia amat benci itu tanpa usul periksa, dengan tujuan untuk menggambar burukkan parti itu di mata para pembaca. Sebenarnya penulis artikel Astora Pendusta Agama itu bukanlah orang atau ahli Pas, dia cuma orang awam yang tidak menyertai mana-mana parti politik, tetapi diberi peluang oleh Allah swt. untuk mempelajari ilmuNya -khususnya tentang B. Arab dan Syariat Islam- selama tiga tahun di sebuah sekolah agama terkemuka di K Terengganu, empat tahun di Kolej Islam Klang, kemudian empat tahun lagi dalam Fakulti Syari’ah dan Undang-undang di Universiti al-Azhar, Kaherah, iaitu tempat Astora pernah bertugas sebagai wakil Utusan dan sempat mengenali seorang hamba Allah yang bernama Astora itu,di situ. Selain itu, penulis artikel tersebut juga diberi rezeki dan minat oleh Allah swt. untuk membeli seberapa banyak kitab yang termampu olehnya ketika di Kaherah (setakat ini memiliki lebih daripada seribu tajuk dalam pelbagai bidang mengenai Islam). Oleh itu, penulis ada kemampuan untuk membuat rujukan yang mendalam dan memastikan apakah benar apa yang ditulis oleh Astora itu. Mana yang benar, penulis tidak usik, tetapi bila ada kekeliruan atau kebatilan didedahkan kepada pembaca awam yang tidak tahu, maka penulis berasa bertanggungjawab untuk memurni, membetul dan menghapuskan kebatilan itu supaya para pembaca tidak tersesat jalan. Itu pun hanya bagi pembaca yang ada internet, kerana setakat ini penulis tidak diberi ruang di dada akhbar. Tidak mengapalah, asalkan penulis tidak dipersoalkan Allah swt. di akhirat kelak. Kalau pun para pembaca mendapati hujah-hujah penulis lebih kuat dan boleh menyangkal kekeliruan Astora, maka itu adalah kekuatan bagi al-haq (kebenaran) itu sendiri, bukan kekuatan peribadi penulis yang sebenarnya dhaif ini, seperti kata Dr. Yusof al-Qaradawi apabila berjaya mematahkan hujah-hujah batil sekularis Dr. Farag Fawda (yang dikagumi Astora) itu di satu majlis debat terbuka yang diadakan di Kaherah awal 90-an dulu.

Nampaknya Astora cuba buat helah dengan mengatakan dia belum lagi mengemukakan pandangan-pandangan lain tentang hukum hudud, namun -kononnya- orang Pas sudah mengecamnya. Pandangan mana lagi yang akan dikemukakan Astora selain daripada yang telah dikemukakannya itu? Agaknya pandangan yang sama dengan yang saya kemukakan itulah. Tapi apakah Astora bersedia menyiarkan sepenuhnya pandangan saya itu? Jika dia seorang ilmuan yang berwibawa, jawapannya: ya. Jika jawapannya tidak, maka dia adalah seorang yang tidak mahu mengaku salah setelah sedar dirinya buat salah.

Baiklah, sekarang penulis akan membawa hujah-hujah tambahan bagi mensabitkan Astora pendusta agama. Dalam artikel yang lalu telah ada empat bukti pendustaan Astora, maka di sini akan dimulakan dengan yang kelima:

5) Mendakwa (seolah-olah) tidak mengapa tinggalkan sedikit daripada hukum Allah swt.

Dalam Bicara Agama 19/9/99, Astora menulis: “…memadai disebutkan bahawa dalam al-Quran terdapat 10 ayat yang membincang mengenai hukum hudud berbanding 500 ayat yang membincang keseluruhan hukum. Ini bererti ayat yang menyebut hukum hudud hanya 1 dari 50. Ataupun 0.17 peratus dari keseluruhan ayat al-Quran yang berjumlah kira-kira 6000 ayat itu. Oleh demikian adalah keterlaluan ulama Pas menuduh…”

Sebelum ini tiada lagi ilmuan Islam yang berani mengungkap ungkapan yang amat berbahaya seperti Astora ini. Cuma dalam Mingguan Malaysia 26/9/99 ada seorang penulis e-mel yang memakai nama Izeman, yang semazhab dengan Astora ini, dengan mengatakan, “…cuma arahan yang patut dulu, didulukan. Punya tebal al-Quran 6234 ayat (setengah kata 6666), berapa banyak arahan Allah tentang hudud? Tentang haji disebut 645 kali, zakat 2395 kali, solat 67 kali. Tapi hudud berapa kali?”

Tetapi bagi saya, orang macam Izeman ni, tidaklah boleh diambil kira sangat, sebab dia tidak mendakwa berilmu tinggi, berbanding Astora yang mendakwa betapa lama duduk di tanah Arab, menguasai 5 bahasa dan mengatakan ulama lain yang tidak sehaluan dengannya (termasuk Dr. Yusof al-Qaradawi) sebagai jahil. Bilangan-bilangan ayat yang disebutkan Izeman itu pun tidak betul, kerana dia saya kira bukan ahli dalam bidang ini. Lagi pula Izeman ini bukanlah seorang yang berani bermuzakarah untuk mencari kebenaran, sebab itu dia minta Astora rahsiakan alamat e-melnya yang sebenar.

Sebenarnya para pembaca sekalian, kita tidak dibenarkan menggunakan akal dan logik kita semata dalam berbicara pasal agama Islam ini. Hakim bagi perselisihan kita bukanlah akal kita sendiri, tapi al-Quran dan hadis yang sahih seperti yang Allah sebutkan dalam ayat 59 surah al-Nisa’ yang bermaksud: “…jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat”, dan juga ayat 65 surah yang sama bermaksud: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang engkau telah hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”

Kita –sebagai orang yang beriman- tidak dibenarkan merujuk kepada ilmu kira-kira (matematik) -seperti yang dilakukan oleh Astora dan Izeman di atas- untuk mencari kebenaran. Perbuatan sedemikian adalah perbuatan orang yang tidak beriman, seperti penegasan Allah swt. yang jelas dalam kedua-dua ayat itu. Jadi kita ini hendak membuktikan iman kita kepada Allah swt. atau tidak? Atau kita ini mewarisi perangai-perangai Abdullah bin Ubay yang hipokrit (munafiq) itu?

Sedangkan ajaran Allah swt. dan RasulNya ialah: “Segala apa yang dibawakan kepada kamu (termasuklah hukum hudud walaupun sedikit) oleh rasul kamu hendaklah kamu ambilnya, dan segala apa yang dilarang olehnya hendaklah kamu tinggalkannya” (terjemahan ayat 6 surah al-Hasyr) dan: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam ini secara keseluruhannya…(termasuk hukum hudud walaupun sedikit)” (terjemahan ayat 208, al-Baqarah) dan salah satu hadis berkenaan hudud yang banyak itu, adalah hadis sahih riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Turmuzi, Ahmad dan lain-lain, bermaksud: “Ambillah (hukum ini) daripadaku, ambillah daripadaku, sesungguhnya Allah telah menjadikan bagi mereka (penzina) jalan penyelesaian, (iaitu) penzina lelaki dan wanita yang belum berkahwin hendaklah disebat 100 kali dan dibuang negeri (bagi lelaki sahaja) selama setahun, dan penzina lelaki dan wanita yang telah berkahwin hendaklah direjam”.

Oleh kerana sudah jelas nas-nas tadi, maka diharamkan bagi kita melanggarnya dan tiada lagi ijtihad sama ada pakai logik atau matematik. Tidak harus bagi kita orang-orang beriman mengatakan tidak mengapa tinggal sedikit daripada hukum atau perintah Allah, kerana ini merupakan satu perbuatan menghalalkan yang haram. Iaitu Allah swt. mengharamkan kita meninggalkan hukumNya walaupun sedikit berdasarkan ayat 6 surah al-Hasyr dan ayat 208 surah al-Baqarah tadi, tiba-tiba ada orang yang mengaku beriman juga, mengatakan tidak mengapa tinggalkan hanya 0.17 peratus (iaitu hudud) sahaja daripada al-Quran. Peratusan itu pun boleh dipertikaikan lagi. Betul ke, pihak yang diberi amanah kuasa pada hari ini hanya meninggalkan 0.17 peratus hukum Allah sahaja dan telah melaksanakan 99.83 lagi? Dibimbangi ianya terbalik, iaitu takut-takut 0.17 peratus sahaja yang cuba dilaksanakan bersungguh-sungguh, yang selebihnya macam hendak tak hendak saja. Perintah Allah berkenaan zakat nampaknya ingin benar-benar diamalkan sebab ianya duit, tapi bagaimana dengan arahan solat, apakah wujud papan tanda kempen untuk solat sebesar kempen zakat dan juga amaran-amaran tindakan tegas jika tak bayar zakat? Arahan menutup aurat ke atas orang Islam ada ke? Artis-artis wanita Islam yang dedahkan separuh dada dan peha –ataupun lebih lagi- ditegur ke tidak? Kalau artis lelaki berambut panjang boleh ditegur, kepada tidak boleh tegur yang terlalu seksi dan mengghairahkan itu? Atau lebih seronok tengok orang dedah aurat, sebab tu seorang mufti tu dipecat kerana larang wanita Islam dedah aurat! Perintah Allah supaya mencegah dan menghapus kemungkaran bagaimana? Dah buat ke belum? Cegah kemungkaran bukan setakat cegah khalwat saja. Bahkan nampaknya laluan-laluan ke arah kemungkaran disediakan seluas-luasnya, dan tanggungjawab mengelak kemungkaran dibebankan seratus peratus kepada rakyat, “rakyat tapis sendirilah”, katanya, yang diberi amanah kuasa langsung tak mahu bertanggungjawab! Dan banyak lagi arahan Allah yang tak cuba dipatuhi sebenarnya! Betul ke 99.83 % hukum Allah telah dibuat, hanya tinggal 0.17 % sahaja yang belum, wahai Astora?

Kalaupun betul jumlah ayat hudud hanya 0.17% sahaja daripada jumlah keseluruhan ayat al-Quran, apakah hukum hudud bersumberkan al-Quran sahaja? Banyak lagi hadis-hadis yang sahih, bahkan mutawatir, menerangkan tentang hudud, kalaulah Astora ikhlas nak mencari kebenaran. Antaranya hadis kisah sahabat yang bernama Ma’iz bin Malik yang mengaku berzina lalu direjam oleh Nabi saw., begitu juga kisah perempuan al-Ghamidiyah, kisah ‘asif (pembantu lelaki) yang berzina dengan isteri tuannya, hadis Saiyidina ‘Umar menyebat anaknya Abu Shamhah yang terbukti memperkosa seorang wanita sehingga melahirkan anak, hadis ‘Umar menyebat peminum arak, hadis Saiyidina ‘Ali menyebat dan merejam penzina, kisah Saiyidina Abu Bakr memerangi dan membunuh orang-orang murtad yang enggan bertaubat dan lain-lain hadis berkenaan hudud yang berlambak-lambak itu. Sebab itu saya katakan ianya mutawatir (ma’nawi), berdasarkan himpunan yang dilakukan oleh para ulama yang ikhlas dan beramal. Kenapa Astora tak sentuh satupun tentang hadis-hadis yang banyak itu ketika membuat kira-kira peratus ayat hudud itu? Ataupun Astora ni berfahaman anti-hadis juga secara senyap-senyap? Setakat pemerhatian saya terhadap tulisan-tulisan Astora, bau-bau itu (anti-hadis) ada juga sikit-sikit. Cuba lihat hujah saya selepas ini bagi menyanggah pandangan songsang Astora tentang hadis terutamanya hadis ahad.

Jadi cuba para pembaca menilai mana nama yang lebih tepat bagi kolum Astora itu, Bicara Agama atau Dusta Agama?

6) Mengatakan simpan janggut adalah adat, bukan ibadat.

Dalam jawapan kepada e-mel pembaca pada 29/9/99, Astora menulis: “Bagaimanapun di sini suka penulis membuat penjelasan menyimpan janggut bukan ibadat, tetapi adat. Selain itu, mempertikaikan hadis janggut yang tergolong daripada hadis ahad, iaitu hadis tidak begitu kuat, tidak dianggap salah, kata para ulama.”

Saya nak tanya Astora sikit, ulama mana yang kata, bila sesuatu hadis itu ahad, maka maknanya ia tak begitu kuat dan tak salah serta boleh mempertikai atau menolaknya begitu saja? Ini pun satu percubaan untuk berdusta dengan para pembaca yang kebanyakannya tak mampu merujuk tentang ilmu Usul al-Hadis.

Pembaca perlu tahu bahawa, dari segi jumlah bilangan periwayat dan cara sampainya kepada kita , hadis itu terbahagi kepada dua iaitu mutawatir dan ahad. Mutawatir ialah hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah besar periwayat yang pada adat dan logiknya, mustahil mereka itu bersepakat untuk berdusta atas nama Rasulullah saw. Tentang berapa jumlah mereka itu, adalah diperselisihkan oleh ulama hadis. Tetapi saya lebih tenang berpegang pada pendapat yang mengatakan ‘sekurang-kurangnya tiga orang periwayat’, kerana tiga dalam B. Arab sudah dikira jamak. Jadi adalah mustahil bagi ketiga-tiga orang sahabat sengaja bersepakat untuk berdusta atas nama Nabi saw. sedangkan mereka itu telah diredhai Allah seperti penegasan ayat-ayat 100 (al-Tawbah), 18 (al-Fath), 22 (al-Mujadilah) dan 8 (al-Bayyinah) Hadis ini (mutawatir) membawa natijah ‘yakin’, terbatal iman orang yang menafikannya, kerana telah ada jaminan Nabi saw. bahawa umatnya tidak akan bersepakat atas dosa dan kesesatan. Sesiapa yang tidak yakin dengan jaminan ini, bermakna tidak yakin dengan Nabi saw., maka murtadlah ia. Mutawatir ini pula terbahagi kepada lafzi (dari segi lafaz) dan ma’nawi (dari segi makna).

Manakala ahad pula bermaksud hadis yang diriwayatkan oleh kurang daripada jumlah periwayat hadis mutawatir tadi. Hadis ini membawa natijah zann (antara 50 hingga 99 peratus yakin), iaitu kurang sedikit daripada darjat yakin. Walau bagaimanapun hadis ahad ini, apabila sahih sanad (rantaian perawi) dan maknanya (tidak bercanggah dengan al-Quran dan hadis sahih yang lain), maka wajiblah beramal dengannya, iaitu berdosa meninggalkannya dengan sengaja. Bahkan ada ulama yang mengatakan hadis ahad ini juga menatijahkan ilmu yakin dan wajib amal, antara mereka ialah Ibn Hazm dalam kitabnya al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, al-Karabisi dan al-Harith bin Asad al-Muhasibi, serta satu riwayat daripada Imam Malik.

Malah boleh dikatakan telah sepakat di kalangan ulama muktabar bahawa wajib beramal dengan hadis ahad, tiada seorang pun yang menyanggahi mereka melainkan ahli-ahli bid’ah di kalangan penganut mazhab Qadariah dan Rafidhah (pelampau Shi’ah). Astora Jabat di kalangan puak mazhab ini ke? Lihat tentang hadis mutawatir dan ahad ini dalam kitab-kitab Usul Feqah seperti al-Ihkam fi Usul al-Ahkam (al-Amidi), al-Mustasfa (Imam al-Ghazzali), al-Tamhid (Abu al-Khattab) dll. Lihat juga dalam kitab-kitab Usul / Ulum al-Hadis seperti Sharhu Nukhbah al-Fikar (Ibn Hajar al-‘Asqalani), Tadrib al-Rawi (Imam al-Suyuti), Qawaid al-Tahdith (Syaikh Jamaluddin al-Qasimi) dll banyak lagi kalau Astora nak.

Jadi mana bukti dakwaan Astora hadis ahad boleh ditolak atau dipertikai begitu saja? Astora bawa riwayat daripada ulama mana lagi kalau bukan ulama bid’ah tu? Jangan nak berdusta dengan para pembaca!!

Lihat pula apa kata Ibn Qayyim al-Jawziyah dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in –yang kononnya Astora selalu rujuk itu- (jilid 1, m/s 32, Percetakan al-Nil) -dengan terjemahan bebas-: “Dalam agama kami, apabila sahih sesuatu hadis daripada Rasulullah saw., dan tiada hadis sahih yang lain bercanggah dengannya, maka menjadi kewajipan bagi kami dan umat Islam seluruhnya supaya beramal dengannya dan meninggalkan yang selainnya, dan kami tidak akan meninggalkannya hanya kerana ada pendapat berlainan daripada seorang manusia tak kira siapa pun dia…”

Tentang dakwaan Astora, bila ada saja perselisihan pendapat antara ulama (walaupun ulama bid’ah!), maka kita bebas menggunakan akal kita untuk memilih mana-mana daripada pendapat itu; saya telah jawab kebatilan Astora itu dalam artikel saya untuk menyanggah Astora yang bertajuk Bersumpah Dengan Selain Allah (Termasuk al-Quran) Tidak Sah.

Baiklah, kita berbahas pula tentang masalah menyimpan janggut, apakah ia ibadat atau adat? Astora kata ia hanyalah adat, bukan ibadat! Sungguh gelojoh nak buat hukum, orang bernama Astora ni. Belum kaji lagi dah berani nak buat kenyataan rambang tentang sunnah Nabi saw. Samalah perangai dia dengan tok ketua yang dipuja-pujanya itu!

Sebelum pergi jauh, apakah jenis hadis tentang janggut ini? Okay, kita terima ianya adalah hadis ahad yang kita dah putuskan dengan perbahasan di atas, wajib beramal dengannya. Hadis ahad ini sahih, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim (bab Taharah), al-Bayhaqi dan lain-lain yang bermaksud; “Salahilah adat orang-orang musyrikin, potonglah misai dan peliharalah janggut…” dan ada riwayat lain dengan lafaz, “Salahilah orang-orang Majusi…” dan “Salahilah orang-orang Yahudi…”

Bagaimana cara para ulama memahami nas? Nas di sini adalah hadis sahih yang di dalamnya terdapat amr (arahan). Mengikut kaedah Usul Fiqh, kullu amrin li al-wujub illa ma’a qarinah sarifah ‘an ma’nahu al-asli (asal setiap arahan itu membawa makna wajib, kecuali terdapat isyarat yang menyimpangkannya dari makna asal itu). Arahan Nabi saw. di sini adalah ‘peliharalah janggut’, jadi asal maknanya adalah wajib pelihara janggut. Pendapat ini dipakai oleh sebahagian besar umat Islam terutama di kalangan ahli madrasah hadis. Tetapi sebahagian yang lain pula berpendapat memelihara janggut adalah sunnah yang sunat hukumnya. Ini kerana, pada takwilan mereka, Nabi saw. memberi arahan itu semata-mata untuk membezakan orang Islam dengan bukan Islam. Pada hari ini terdapat juga orang Yahudi dan orang bukan Islam yang lain memelihara janggut, jadi kita hendaklah menyalahi adat mereka itu, bolehlah tak berjanggut, kata mereka, tapi mereka tidaklah sampai berkata janganlah berjanggut. Namun begitu pendapat ini adalah lemah, yang terkuat adalah yang mengatakannya sunat muakkad kerana mengikut sunnah Nabi saw.

Jadi bagaimana Astora boleh berkata janggut itu adalah adat bukan ibadat? Adakah orang yang berjanggut kerana mematuhi sunnah Nabi saw. tidak beribadat? Apatah lagi sunnah ini adalah bersifat qawliyyah (perkataan Nabi saw.) dan bukan hanya fi’liyyah (perbuatan tanpa disokong perkataan) seperti pakai jubah dan serban. Kalau jubah dan serban itu dikatakan adat, bolehlah sikit-sikit diterima kerana tiada satu nas sahih pun menunjukkan Nabi saw. memberi arahan memakainya. Tapi yang memakainya kerana mengikuti sunnah fi’liyyah Baginda saw. pun dikira mendapat pahala kerana menzahirkan kasih sayang terhadap Nabi saw. dengan mengikuti semua tingkah lakunya. Inilah yang sukar difahami oleh orang-orang kafir, dan juga orang-orang Islam yang suka berbudaya dengan budaya kafir. Dia pakai pakaian Mat Salib dengan neck-tie, bowlnya tak apa, orang tak bising pun, tapi bila dia tengok orang lain berjanggut, berjubah, berserban, bertudung, dia mula sakit mata, kecoh dan bising. Apa jenis orang ni tak taulah, dia kata dia Islam sebenar!

Perlu difaham, apabila saya kata ‘berbudaya dengan budaya kafir’, saya tidaklah bermaksud orang Islam yang mengamalkan budaya yang berasal daripada orang kafir itu telah menjadi kafir. Islam tidak mengharamkan semua budaya yang berasal daripada jahiliyah/kafir, selagi budaya itu tidak bercanggah dengan asas-asas akidah, akhlak dan syariat Islam. Maksud saya yang sebenarnya, ada orang Islam yang berbangga dengan budaya yang berasal daripada orang kafir telah memandang hina dan mengkritik budaya yang diamalkan oleh orang yang mula-mula membawa Islam iaitu orang Arab, apatah lagi budaya itu diteruskan oleh Nabi saw. sendiri, sedangkan orang Islam yang mengamalkan budaya Islam itu tidak menghina orang Islam lain yang mengamalkan budaya kafir, tidak mengkritik, tidak berkata apa-apa, tidak rasa sakit hati dan menganggapnya sebagai hak peribadi orang itu. Tetapi yang peliknya orang Islam yang berbudaya kafir itu tidak senang bila melihat orang Islam lain berjanggut, berserban, berjubah dan bertudung, dia mula sakit hati, sakit mata lalu dia kecoh dan bising. Kenapa begitu? Bukankah orang Islam itu pun ada hak peribadinya sendiri? Saya pun tidaklah memakai serban, tapi saya berlapang dada dengan orang yang komited dengan serban dan menganggapnya sunnah. Biarkanlah dia dengan serbannya, janggutnya, jubahnya, kita menyibuk apa pasal?! Awak tak nak ikut sunnah itu, diam saja sudahlah!

Nasihat saya, janganlah Astora nak perbodohkan sangat pembaca dan mendustai mereka. Bertakwalah sikit, kalau nak mengampu pun. Mengampu sikit-sikit tak salah, tapi jangan sampai tutup kebenaran.

7) Mengatakan hudud tiada dalam al-Quran dan hanya gimik politik

Dakwaan mengatakan hudud tiada dalam al-Quran dibuat Astora apabila memberikan tajuk kolum Bicara Agamanya pada 5/9/99 sebagai; Semua suruhan dan larangan Allah adalah hukum hudud – Hudud tidak ada dalam al-Quran?

Apakah niat Astora dengan hal tersebut? Bagi segolongan kecil yang tahu, ianya tidaklah menjadi masalah sangat, kerana kenyataan itu dalam bentuk persoalan (dengan tanda soal). Tapi haruskah hukum Allah disensasi dan digossip sedemikian rupa, sehingga menimbulkan keraguan dan syak kepada orang awam? Hukum Allah bukannya artis, boleh disensasi dan digossip. Menggossipkan artis tidak berdosa jika si artis itu tidak marah atau memang dia suka. Tapi apa hukumnya membuat gossip terhadap hukum Allah? Bukankah menggossip itu sama dengan mempersenda? Apa hukumnya mempersendakan hukum Allah dengan sengaja? Dalam subjek Pendidikan Islam Tingkatan Lima (sekolah-sekolah di bawah Kem. Pendidikan), di bawah tajuk Perkara-perkara yang membatalkan iman, ada dinyatakan antaranya, mempersendakan hukum Allah.

Apa pula implikasi kenyataan Astora itu terhadap golongan majoriti terbanyak masyarakat Islam? Salah seorang ahli jamaah di sebuah masjid tempat saya berkuliah Maghrib ada bertanyakan saya dengan bersungguh-sungguh: “Sebenarnya ada ke tidak hukum hudud ni dalam al-Quran, ustaz?” Beliau telah terkeliru setelah membaca tajuk Bicara Agama Astora Jabat pada hari itu. Isi kandungan keseluruhannya tidak difahami sangat, yang dia faham ialah tajuk yang dihighlightkan itu saja, tapi amat mengelirukannya. Kalau tiada dalam al-Quran, apa makna hudud yang disebut-sebut selama ini?

Sebenarnya Astora memang ingin meragukan orang awam, dengan harapan mereka akan menolak para ulama yang ikhlas memperkatakannya, lalu menuduh ‘ulama penipu’ atau ‘Imam Syafie penipu’ seperti yang sedang rancak diconteng dan ditampal di dinding-dinding sekarang ini di merata tempat di Kuala Lumpur, Seremban, Senawang, Kuala Pilah dan mungkin lain-lain tempat lagi. Apabila para ulama yang ikhlas ini telah dipandang serong oleh masyarakat, maka Astoralah yang akan mengambil tempatnya menjadi pakar rujuk agama yang bertindak sebagai Pembicara/Jurucakap Agama.

Kenapa Astora terlalu sibuk dengan perselisihan ulama tentang bilang hukum hudud? Perselisihan mereka itu hanya dari segi istilah sahaja, bukan dari segi kewajipan memperundangkannya. Contohnya Imam Abu Hanifah tidak menamakan hukum Qisas sebagai hudud, berbanding dengan Imam Malik dan Imam Syafi’e yang mengkategorikannya sebagai hudud. Mereka berselisih pendapat tentang pengkategorian ini, tetapi apakah mereka berselisih pendapat juga tentang hukumnya, lalu ada yang mengatakan jenayah Qisas tidak perlu dihukum dan ada yang mengatakan perlu dihukum bunuh balas? Jawabnya, mereka tidak berselisih sama sekali tentang hukumannya, cuma mereka berselisih tentang pengkategoriannya sahaja! Berselisih pada nama tidak menjadi masalah, yang menjadi masalah ialah mengambil peluang membuat serkap jarang di atas perselisihan itu seperti yang dilakukan oleh Astora ini. Tidak menjadi masalah apabila orang berselisih tentang penamaan kenderaan beroda empat, lalu ada yang memanggilnya kereta, ada yang menamakannya motokar dan ada yang menggelarnya mobil. Bendanya sama saja, iaitu kenderaan beroda empat yang boleh dinaiki. Apa masalahnya dengan nama-nama itu? Hanya Astora yang bermasalah untuk menegakkan benang basah yang dah pasti tak akan tegak!

Satu lagi Astora kata isu hukum hudud hanyalah gimik politik seperti dalam artikelnya pada 26/9/99. Adakah hamba-hamba Allah swt, yang cuba hendak mematuhi arahanNya supaya ‘melaksanakan’ (baca memperundangkan/mengkanunkan/mengaktakan/memaktubkan) hukumNya sebagai undang-undang negara untuk dikuatkuasakan ke atas umat Islam dikatakan hanya untuk membuat gimik politik?! Gimik politikkah ancaman Allah swt. ke atas sesiapa yang tidak ‘melaksanakan’ hukumNya sebagai kafir, zalim dan fasiq seperti yang terkandung dalam ayat 44, 45 dan 47 surah al-Maidah itu?! Demi Allah, inilah satu pembohongan dan pendustaan yang maha dahsyat ke atas agama Allah!!!

Sekian, wassalam.

p/s: Maaflah jika dalam penulisan saya ada kekasaran bahasa, terutamanya sdr. Astora, ya! Sebenarnya saya tidak kisahkan sangat jika orang menghina diri saya, tapi saya amat marah dan benci bila ada orang menghina dan berdusta atas nama agama suci saya, Islam yang dibawa Baginda RasuluLlah s.a.w. itu.