BAB 1: AHLI SUNNAH DAN MARTABAT TUJUH

Primary tabs

BAB 1

AHLI SUNNAH DAN MARTABAT TUJUH

Ta'rif Ahli Sunnah wa al-Jama'ah banyak, ada yang panjang, ada yang pendek dan padat, semuanya bermaksud sama sahaja. Kita ambil ta'rif yang paling pendek tetapi padat yang berbunyi:

السنة أي طريقة النبي والجماعة أي طريقة الصحابة

Terjemahannya: Sunnah ialah tareqah (cara) Nabi dan Jama'ah ialah tareqah (cara) para Sahabat.

Ahli Sunnah ialah pengikut aliran Asy'riah, Maturidiah, dan Salaf. Mereka berpegang dengan al-Qur'an dan Sunnah serta menolak falsafah.

Ilmu Martabat Tujuh ini ialah satu perbincangan mengenai asal mula kejadian alam semesta ini. Ilmu atau akidah Martabat Tujuh ini bercanggah dengan Ahli Sunnah; bercanggah dengan Asy'ariah, Maturidiah dan Salaf. Ilmu Martabat Tujuh ini adalah satu falsafah. Ilmu ini termasuk dalam bidang i'tiqad Tasawuf Falsafah Wahdat al-Wujud. Mereka mengatakan bahawa Allah mengadakan semesta ini bukan daripada tiada kepada ada, seperti l'tiqad Ahli Sunnah wa al-Jama'ah, tetapi daripada ada kepada ada. Apakah yang mula-mula ada? Yang mula-mula ada ialah Allah Yang Tiada Awal bagi Ada-Nya dan ada makhluk termasuklah manusia terbit daripada Allah seperti ombak laut terbit daripada laut, atau cahaya matahari terbit daripada matahari. Seperti ; kata Hamzah Fansuri:

Katakan ana al-Haqq jangan takut!

ltulah ombak menjadi laut.

Katanya lagi, "Adapun Wujud Allah dengan Dzat Allah umpama matahari dengan cahayanya; ..."

"Pada kami Dzat Allah dengan Wujud Allah esa hukumnya, Wujud Allah dengan wujud alam esa; wujud alam dengan alam esa hukumnya. Seperti cahayanya (matahari) namanya jua lain, pada haqiqatnya tiada lain. Pada penglihatan mata esa, pada penglihatan hati pun esa. Wujud alam pun demikian lagi dengan wujud Allah - esa; kerana alam tiada berwujud sendirinya."

Apakah erti Wahdat al-Wujud? Erti harfiahnya "satu ada". Pengertian istilah ialah - Allah ialah segala-galanya (الله هو كل شيىء) menafikan ada yang sebenar selain Allah: Bagi mereka inilah erti (لا اله الا الله). Kerana sebenarnya bagi kalimah ini ada empat jenis tafsiran:

  1. (لا اله الا الله) dengan erti Allah itu tiada tercapai oleh akal dan waham. Ini pendirian Mu'tazilah, falasifah, dan setengah-setengah golongan tasawuf.
  2. (لا اله الا الله) dengan erti tiada Maha Pencipta, tiada Maha Kuasa, tiada Maha Berkehendak yang sebenar melainkan Allah. Inilah pendirian setengah golongan tasawuf yang mentawhidkan segala sifat dan berbuatan Allah.
  3. (لا اله الا الله) dengan erti tiada yang disyuhudkan dengan sebenarnya selain Allah. Inilah pendirian kata-kata orang sufi yang tiada melihat sesuatu melainkan dia melihat Allah pada segalanya itu.
  4. (لا اله الا الله) dengan erti tiada wujud yang sebenar selain Allah. Inilah pendirian orang Wahdat al-Wujud, kerana keterlaluan mereka hingga terkata seperti itu. Ilmu Martabat Tujuh ialah tentang asal mula kejadian alam semesta ini daripada ada kepada ada, penjelasan maksudnya ialah bahawa Allah Yang Maha Esa mentajalli (menampak) kan alam semesta ini daripada Dzat-Nya sendiri. Allah Maha Esa, maka tiada terbit daripada Esa melainkan esa. Sesungguhnya esa tetapi berlapis-lapis. Lapisan ini dalam Bahasa Arab digelar martabat.

Pengertian tajalli (theophany, penampakan) Allah bagi orang sufi wahdat al-wujud ialah alam semesta ini bukan Allah: Tetapi alam semesta ini pada tahap hakikat yang sebenarnya sama sekali tidak lain daripada Allah: Kalau tidak begitu ia menjadi satu kenyataan yang bebas, Tuhan yang berasingan, maka rosaklah ke esaan mutlak (wahdat al-wujud) kepunyaan-Nya semata-mata.

Apakah sebab Allah mentajallikan Diri-Nya? Allah mentajallikan Diri-Nya kerana mahu dikenal, seperti kata hadith Qudsi:

كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق ليعرفوني

Terjemahannya: “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, maka Aku suka dikenali lalu Aku jadikan makhluk supaya mereka kenalkan Aku.”

Tetapi menurut al-Zarkasyi, ibn-Hajar, Ibn-Taimiah dan lain bahawa ini bukan hadith sekali-kali kerana sanadnya tiada diketahui sama ada sahih atau dhaif. Menurut maknanya juga salah kerana ungkapan ini menunjukkan Allah itu berhajat. Maka ini menyalahi al-Qur'an yang berbunyi:

إن الله لغني عن العالمين

Terjemahannya: "Sesungguhnya Allah itu benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam." (Al-Ankabut: 6)

Oleh kerana Martabat Tujuh ini tidak ada nas yang jelas daripada al-Qur'an dan Sunnah yang sahih, maka sepatutnya tidak timbul isu. Tetapi sekarang sudah timbul isu Martabat Tujuh, maka memikirkan cara-cara menangani masalah ini adalah satu perkara vang amat dikesalkan kerana mensia-siakan umur. Sekarang terpaksalah dihadapi untuk menyedarkan orang yang terkeliru, tawfiq daripada Allah jua yang kita perlukan.

 

Sejarah ringkas Martabat Tujuh

Martabat Tujuh (ertinya lapisan tujuh) itu ialah Ahadiyah, Wahdah, Wahidiyah, Alam Arwah, Alam Mithal, Alam Ajsam, dan Alam Insan. Lapisan ini tidak semestinya tetap tujuh, ada yang membilangkan tiga sahaja seperti ibn-'Arabi (1165-1240M.), atau empat puluh seperti yang dilakukan oleh seseorang pengikutnya bernama al-Jili (1365 -1412M), dan al-Midrasi. Ada yang membilangnya lima sahaja seperti Syams al-Din al-Sumatrani, tetapi termasyhur mula masuk ke Nusantara kita oleh Muhammad Fadhlullah al-Burhanpuri (M. 1029H.) hingga ke masa kita ini ialah tujuh martabat. Maka terkenallah dengan nama Martabat Tujuh.

Memandangkan tiga pun boleh, lima pun boleh, tujuh pun boleh, dan empat pun boleh, maka janganlah terpesona sangat dengan angka tujuh (7) kerana perkara ini tidak ada asal dalam al-Qur'an dan Sunnah yang sahih, maka tidak ada dalam iktikad Ahli Sunnah wa al-Jama'ah. Manakala Hamzah Fansuri pula tidak menggunakan istilah-istilah Ahadiyah, Wahdah, Wahidiyah tersebut tetapi dia gunakan istilah La Ta'ayyun, Ta'yyun Awal dan seterusnya. Maksud Ahadiyah dengan La Ta'yyun adalah sama. (Kita akan ulangi perkara ini ...). 

 


 

Isikandungan Buku: