[MESTI BACA!] Artikel Terbaik Tentang Hukum Mengundi Calon Bukan Islam

Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Apatah lagi ingin menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dan Majlis Raja-raja. Tambahan pula jumlah non muslim tidak majoriti dalam DUN atau Parlimen. Dan pasti wakil-wakil rakyat muslim akan bersuara dan berperanan mempertahankan. Melainkan jika mereka hanya datang untuk tunjuk muka kepada ‘bos’ serta klim tambang hadir persidangan semata-mata!

CALON MUSLIM vs NON MUSLIM

Oleh Anhar Opir

1. Bahang Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 Malaysia yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja menjadi lebih hangat dengan isu calon muslim apabila bertembung dengan calon non muslim di satu-satu kawasan. Sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen), terdapat pandangan daripada satu kumpulan yang mengharamkan undi kepada non muslim. Adakah tepat istinbat (kaedah keluar) hukum ini? 

 

2. Kumpulan ini juga menegaskan bahawa hukum ini terpakai walaupun pertembungan berlaku di antara calon muslim yang jahat dengan calon non muslim yang baik. Kayu ukur mereka adalah agama, walaupun seseorang itu jahat dan zalim tetapi jika beragama Islam maka kita wajib undi dan sokong kerana lebih ‘afdhal’ berbanding non muslim yang baik tadi. Selain itu mereka menganggap dengan mengundi non muslim sehingga menyebabkan menang, ini membawa kepada wilayah (kekuasaan) non muslim ke atas orang-orang Islam.

 

3. Mereka menyandarkan hukum ini kepada beberapa dalil ayat al-Qur’an, antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 141:

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.

 

4. Seringkali juga mereka bersandarkan firman Alah Azza wa Jalla dalam surah Ali Imran ayat 28:

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ

إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ

Maksudnya: Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).

 

5. Juga firman Allah SWT yang mempunyai sighah yang sama dalam surah al-Nisaa’ ayat 144:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.

 

TELITI DALAM ISTINBAT

6. Ayat-ayat ini secara zahirnya melarang kita daripada mengambil non muslim sebagai kawan, penolong, dan termasuk juga calon untuk diundi hingga menjadi ketua yang mempunyai kuasa. Namun istinbat hukum haram mengundi calon non muslim menerusi ayat ini memerlukan ketelitian dan penguasaan ilmu Usul al-Feqh. Ini kerana tidak semua teks ayat al-Qur’an boleh kita bergantung kepada zahirnya sahaja, bahkan terdapat ayat-ayat al-Qur’an pada dalalah (pendalilan) hukumnya adalah mu’allalah (bersebab). Selain adakah ia bersifat mutlak kepada semua non muslim atau muqaiyyad (terikat) untuk sebahagian daripada mereka sahaja? Seterusnya adakah kita telah kumpulkan semua ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan non muslim sehingga kita boleh buat kesimpulan dan istinbat hukum haram?

 

7. Mungkin kumpulan tadi terlupa atau tidak bertemu dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ . إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ.

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

8. Menerusi ayat ini, Allah Azza wa Jalla telah membahagikan non muslim kepada dua kumpulan; pertama adalah yang baik kepada orang-orang Islam, tidak memerangi dan mengusir muslimin dari kediaman mereka. Manakala kumpulan kedua adalah yang memusuhi, ,memerangi dan mengeluarkan orang-orang Islam dari rumah-rumah mereka. Kumpulan ini seperti Musyrikin Mekah yang telah menyakiti dan menghalau nabi SAW dan umat Islam. Inilah kumpulan yang kita tidak boleh berkawan dan mengundi mereka. Adapun kumpulan yang pertama, kita tidak dilarang untuk berkawan dan mengundi mereka berdasarkan dalalatu al-nas yang tidak perlukan sebarang ta’wil. Maka ayat ini telah mengikat (qayd) mutlaknya ayat-ayat yang digunakan oleh kumpulan yang mengharamkan undi kepada non muslim.

 

9. Di samping itu, ayat yang melarang kita mengambil non muslim sebagai kawan rapat serta penolong, illah (sebab) nya bukan semata-mata kufurnya mereka kepada Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَنْ تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu.

 

10. Ayat ini telah menafsirkan ayat-ayat yang awal di atas, bahawa larangan Allah Azza wa Jalla menjadikan non muslim sebagai kawan rapat dan penolong bukan hanya kerana tidak berimannya mereka, tetapi juga bergabung dengan illah (sebab) lain iaitu menghalau dan mengusir nabi SAW dan umat Islam daripada kediaman mereka tanpa hak. Oleh itu, jika seorang non muslim hanya sekadar tidak beriman tanpa illah (sebab) kedua iaitu menghalau, maka tiada larangan.

 

11. Ini lebih jelas lagi dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 22:

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan rasulNya,

 

12. Daripada ayat ini menunjukkan bahawa larangan berkawan dan menyokong non muslim adalah bagi yang menentang Islam. Maka mafhumnya adalah sebaliknya iaitu tiada larangan bagi non muslim yang tidak menentang Islam. Persoalannya ialah bagaimana pula dengan calon muslim yang terang-terang menentang, mempersenda dan menolak Islam menerusi ucapan dan tulisan meraka?

 

13. Mengetahui perbahasan ayat-ayat di atas menjadikan kita faham dan memperhalusi maksud muwalat (penguasaan) non muslim yang sebenarnya dilarang oleh Islam. Dengan kefahaman tersebut kita terhindar daripada kesilapan memetik dan istinbat hukum hanya kerana baru berjumpa dengan satu ayat al-Qur’an yang belum tentu dalalah (pendalilan) nya qat’ie (putus dan pasti). Ia keliru dan mengelirukan!

 

14. Calon yang menang dalam pilihanraya nanti bakal menjadi seorang wakil rakyat bukannya khalifah, Imam atau ketua negara. Itu pun bukannya wakil kepada kesemua rakyat tetapi hanya mewakili satu juzu’ daripada jumlah rakyat di seluruh negara (kerusi Parlimen) atau negeri (kerusi DUN). Al-Qaradhawi menjelaskan:

 

Sesungguhnya al-niyabah (perwakilan) ini merupakan wakil kepada sebahagian orang ramai dalam kawasan tertentu, ia tidak dianggap dalam bab al-imarah (kepimpinan) dan al-wilayah (kekuasaan) yang hadith melarang bersungguh-sungguh atau memintanya. Seorang wakil (rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia mewakili kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur. (al-Qaradhawi: Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, Dar al-Syuruq, hlmn 194)

 

KUASA TERHAD

15. Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Apatah lagi ingin menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dan Majlis Raja-raja. Tambahan pula jumlah non muslim tidak majoriti dalam DUN atau Parlimen. Dan pasti wakil-wakil rakyat muslim akan bersuara dan berperanan mempertahankan. Melainkan jika mereka hanya datang untuk tunjuk muka kepada ‘bos’ serta klim tambang hadir persidangan semata-mata!

 

16. Tidak mempunyai kuasa penuh dan terhad ini yang menyebabkan al-Mawardi (450H) membenarkan ahli al-Zimmah boleh dilantik menjadi menteri yang hanya bersifat membantu melaksanakan dan melicinkan kerja seorang ketua negara. Kata al-Mawardi:

Harus seorang menteri (tanfiz) itu daripada ahli a-Zimmah meskipun dia tidak boleh memegang jawatan menteri tafwidh (mendapat kuasa). Perbezaan di antara kedua-dua kementerian ini berdasarkan perbezaan dua kuasa, yang demikian itu dari empat aspek; salah satunya ialah menteri tafwidh berkuasa untuk menentukan hukum dan menghapuskan kezaliman, sedang ini tiada pada menteri tanfiz. (al-Mawardi: al-Ahkam al-Sultaniyah, Dar al-Kutub al-Ilmiah, hlmn 28)

 

17. Menurut al-Mawardi, menteri tanfiz (pelaksana) bidang kuasanya tertakluk kepada arahan imam (ketua negara). Ini berbeza dengan menteri tafwidh yang mendapat kuasa penuh untuk melakukan sebarang tindakan berdasarkan kehendak dan pendapatnya. Abu Ya’la al-Farra’ (458H) juga menyokong pendapat ini, iaitu dalam hal tiada kuasa penuh bahkan terbatas dan terhad, katanya:

Dan al-Kharqi menyebut sesuatu yang menunjukkan bahawa harus seorang menteri tanfiz itu dalam kalangan ahli al-Zimmah, kerana dia membenarkan pemberian satu juzu’ daripada zakat kepada mereka jika mereka menjadi amil, lalu diberikan kepada mereka hak ke atas kerja mereka. Ini menunjukkan hukum harus perlantikan mereka. (Abu Ya’la: al-Ahkam al-Sultaniyah)

 

18. Hal ini tidak bercanggah dengan pendapat Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) yang tidak membenarkan ahli al-Zimmah memegang jawatan menteri. Kerana yang dimaksudkan oleh al-Juwaini adalah menteri yang mempunyai kuasa penuh dan bebas dalam bertindak, serta berkaitan dengan syarat periwayatan dan persaksian, kerana wakil rakyat di Malaysia tidak begitu sifatnya. Al-Juwaini menyatakan:

Sesungguhnya kepercayaan perlu untuk dijaga, seorang zimmi itu tidak boleh dipercayai dalam perbuatan dan kata-katanya, begitu juga gerak-gerinya. Periwayatannya ditolak, demikian juga dengan persaksiannya ke atas orang-orang Islam, jadi bagaimanakah diterima kata-katanya pada perkara yang bakal menjadi sandaran dan rujukan imam (ketua negara) orang-orang Islam. (al-Juwaini: Ghiyath al-Umam fi al-Tiath al-Dzulam, Dar al-Dakwah, hlmn 114)

 

19. Ini dalam hal melantik menteri, adapun wakil rakyat ia lebih rendah darjatnya dan tidak sepenting jawatan menteri. Keadaan dan sistem yang berbeza juga menyebabkan kita perlu menilai dan meneliti setiap perbezaan ungkapan para ulama’. Yang salah bukan pandangan mereka, tetapi kita yang sering silap menggunakan secara pukul rata untuk semua perkara sedangkan konteksnya berbeza. Sistem pentadbiran negara Malaysia yang berasaskan demokrasi berperlembagaan tidak sama dengan sistem khalifah pada kurun-kurun awal Islam. Walaupun berkongsi istilah seumpama menteri dan kementerian, namun ia belum tentu sama pada perlaksanaannya.  

 

20. Selepas tiada teks dalil yang qat’ie (putus dan pasti) melarang daripada mengundi calon non muslim dalam PRU, maka masolih mursalah menjadi sandaran kepada keharusan hukum mengundi mereka. Ini kerana kita tidak boleh menafikan kewujudan mereka di Malaysia yang mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Mereka akan mewakili suara non muslim di dalam sidang DUN atau Parlimen. Maka maslahat dan kepentingan wujud di sini untuk didengar pandangan serta tuntutan mereka guna memelihara hak mereka yang dijamin oleh Islam sebagai kumpulan minoriti.

 

21. Jangan kerana ingin menang mudah dalam PRU dan menafikan hak orang lain, dengan senang kita meletakkan hukum haram mengundi calon non muslim. Tindakan ini bakal mematikan keanjalan dan kesyumulan syari’at Islam sebagaimana para sahabat yang telah menyebabkan kematian sahabat mereka sehingga ditegur oleh nabi SAW kerana kesilapan memberi fatwa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA katanya:

أَصَابَ رَجُلًا جُرْحٌ في عَهْدِ رسول اللَّهِ  صلى الله عليه وسلم  ثُمَّ احْتَلَمَ فَأُمِرَ بِالِاغْتِسَالِ فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ فَبَلَغَ ذلك رَسُولَ اللَّهِ  صلى الله عليه وسلم  فقال قَتَلُوهُ قَتَلَهُمْ الله أَلَمْ يَكُنْ شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالَ

Maksudnya: Seorang lelaki cedera pada zaman nabi SAW, kemudian bermimpi, disuruh kepadanya mandi, lalu dia pun mandi dan meninggal dunia. Kisah itu sampai ke pengetahuan nabi SAW lalu nabi bersabda: mereka telah membunuhnya, Allah akan membunuh mereka. Bukankah ubat bagi orang yang tidak tahu adalah bertanya. (Riwayat Abu Daud)

 

22. Kesimpulannya, tiada dalil qat’ie yang melarang untuk mengundi calon non muslim dalam PRU di Malaysia. Ia termasuk dalam siasah syar’iyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti. Wallahu a’lam.

 

Anhar Opir | 29 Rabi’ al-Akhir 1434H  | Sweileh, Amman

Kategori Berita: