BAB 7: KEGUNAAN MARTABAT TUJUH

Primary tabs

BAB 7

 

KEGUNAAN MARTABAT TUJUH

Mengapakah ada pihak yang begitu ghairah dengan asal kejadian alam menurut falsafat Martabat Tujuh? Mengapakah mereka tidak ikut panduan al-Qur'an dan Hadith-Hadith Sahih tentang kejadian alam semesta ini? Mengikut falsafah Martabat Tujuh bahawa alam ini terjadi daripada ada kepada ada. Seluruh semesta alam ini terjadi daripada Nur Muhammad dan Nur Muhammad terjadi daripada Nur Allah. Maka inilah pegangan dan keimanan kami ahli Tasawuf Wahdat al-wujud.

Kalau ditanya mengapakah kamu tidak beriman dengan asal kejadian alam ini menurut zahir nas-nas al-Qur'an dan Hadith-hadith Sahih yang mengatakan bahawa alam semesta ini dijadikan daripada tiada kepada ada, dan benda mula pertama dijadikan (daripada tiada kepada ada) ialah `Arasy, Air, Lauh, Qalam, Langit, Bumi, Udara, dan setiap suatu yang hidup terjadi daripada air, (maka semuanya ini terjadi daripada tiada kepada ada), barangkali mereka akan menjawab, zahir nas-nas al-Qur'an dan Hadith-hadith sahih ini sudah bercanggah dengan falsafah Martabat Tujuh kami, maka tiadalah berguna bagi kami.

Jadi mereka tidaklah berpegang dengan zahir nas-nas al-Qur'an dan Hadith-hadith sahih tentang benda-benda mula pertama dijadikan? Jelasnya begitulah!

Apakah sebab mereka mengenepikan zahir nas-nas al-Qur'an dan Hadith Sahih dalam perkara benda pertama dijadikan (iaitu 'Arasy, Air, Qalam, Lauh, Langit, Bumi, Udara, dan kejadian setiap suatu yang hidup daripada air), dan menukarkan al-Qur'an dan Hadith dengan falsafah Martabat Tujuh?

Kerana dengan Martabat Tujuh membolehkan mereka mencapai ma'rifat (gnosis) dan Insan Kamil (Manusia Sempurna), sedangkan dengan 'Arasy, Air, Qalam, Lauh, Langit, Bumi, Udara, dan setiap benda yang hidup terjadi daripada air, maka semuanya ini tidak membolehkan mereka sampai ke maqam ma'rifat (gnosis) dan Insan Kamil.

 

Bagaimanakah cara mereka menggunakan falsafah Martabat Tujuh itu untuk mencapai ma'rifat (gnosis) dan Insan Kamil?

Cara mencapai ma'rifat (gnosis) wujud Allah Yang Wajib al-Wujud diketahui dengan tujuh Martabat. Tanazzulat Tujuh Martabat ini sila lihat kembali perkara Martabat Tujuh di atas iaitu penjelasan tentang erti Alam Insan ialah martabat ketujuh digelar Martabat al-Jami'ah (الجامعة) ertinya Martabat yang menghimpunkan semua Martabat Enam yang terdahulu iaitu Ahadih - La Ta'yyun, Wahdah - Ta'yyun Awal, Wahidiyah - Ta'yyun Thani, Alam Arwah, Alam Mithal, dan Alam Ajsam - menghimpunkan segala enam Martabat yang terdahulu. Martabat Alam Insan ini digelar jua Martabat Terang Nyata (مرتبة الظهور). Manusia itu digelar alam kecil (microcosm) (عالم صغير) semesta alam digelar alam besar (mafrocosm) (عالم كبير). Segala apa yang ada dalam alam besar itu semuanya ada dalam alam kecil. Usaha mencapai ma'rifat itu dimulai dengan Martabat Pertama iaitu Ahadiah - La Ta'yyun, Itlaq, Dzat Semata itu dipandang dengan mata hati, concentaration (الانتباه) akan semata-mata kepada Wujud Dzat Allah, tanpa Sifat, tanpa Af'al (segala Perbuatan), tanpa Asma' (Nama-nama)-Nya, tiada nampak satu apa hatta diri sendiri kerana tumpuan sepenuh concentration (الانتباه) kepada-Nya jua, dengan membanyakkan zikr "Berzikirlah akan Allah sama ada dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring". "Berzikirlah banyak-banyak sehingga orang kata kamu gila", "Berzikirlah banyak-banyak sehingga orang munafiq kata kamu ria". Begitulah gambaran (ذكر الله) iaitu tidak lain daripada (الانتباه) concentration kepada Allah dalam keadaan gigih berusaha memperolehi (معرفة) (gnosis).

"Maka apabila sempurna ma'rifat (gnosis) insan itu akan segala martabat tersebut yang terdahulu itu maka iaitu dinama akan dia lnsan Kamil (Manusia Sempurna)." Siapakah manusia yang menghimpunkan sifat-sifat itu? Contoh nama yang disebut ialah Nabi Muhammad s.a.w.

 

Mengapakah ahli Ilmu Tasawuf Wahdat al-Wujud begitu ghairah dengan asal kejadian alam Martabat Tujuh?

Jawabnya, ialah kerana hendak mencapai ma'rifat (gnosis) dan ilmu dzauq. Bagi mereka ilmu itu ada dua: Ilmu yang boleh dicapai dengan akal fikiran, maka inilah yang digelar ilmu (علمو) Orang yang bersifat dengan ilmu (pengetahuan) jenis ini digelar alim (عالم). Satu lagi ilmu tidak boleh dicapai dengan akal fikiran tetapi melalui sejenis ilham (ilmu terus dari Allah dimasukkan terus ke dalam hati), dan inilah yang digelar dzauq dan ma'rifah gnosis (معرفة). Orang yang mempunyai ilmu jenis ini dihelar gnostic (عارف). Maka matlamat orang sufi seluruhnya, bukan Wahdat al-Wujud sahaja, ialah mahu mencapai gnosis itu. Mereka mahu menjadi orang 'arif bukan orang alim.

Sedangkan mengetahui Ilmu 'Aqidah Ahli Sunnah tentang asal mula benda pertama dijadikan ada lapan iaitu Air, 'Arasy, Qalam, Lauh membolehkan seseorang itu tahu bahawa semuanya itu terjadi daripada tiada kepada ada. Tahu ilmu orang yang tahu bergelar `alim bukan 'arif. Imam Ghazali pun (seorang yang dianggap tokoh besar tasawuf sunni) telah menggunakan dichotomy (pembahagian kepada dua) ini dengan seluas-luasnya.

 

Apakah (غاية) (matlamat) seorang Muslim dalam melakukan tanggungjawab kewajiban Agamanya?

Bagi Ahli Sunnah, menyempurnakan Rukun Iman dan Rukun Islam itu adalah (غاية) (matlamat). Tiada apa lagi yang diharapkan di sebalik penyempurnaan dua Rukun ini selain daripada untuk mendapat keredhaan Allah. Dengan penyempurnaan dua Rukun ini maka terlaksanalah maksud firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ (الذاريات: 56)

Terjemahannya: "Dan tiada Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku (melakukan ibadat kepada-Ku)."

Tetapi bagi sesetengah golongan tasawuf perkataan (لِيَعْبُدُونِ) (supaya mereka menyembah-Ku) dita'wilkan dengan (ليعرفون) (supaya mereka (عارف) kenal pada-Ku). Maka jadilah segala amalan Syari'at mereka seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, dan segala jenis amal ibadat, termasuklah juga amalan teori falsafah Martabat Tujuh, zikir, mujahadah, riadhah nafsiyah mereka; semuanya itu adalah wasilah belaka, bukan ghayah. laitu wasilah untuk sampai kepada gnosis supaya dapat menjadi orang gnostic (عارف بالله). Terdapat ungkapan yang dikatakan Hadith Qudsi iaitu:

كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق ليعرفوني

Terjemahannya: "Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, maka Aku jadikan makhluk supaya mereka kenalkan Aku."

Sempena dengan Hadith (كنت كنزا مخفيا..الخ) ini ada pihak yang cuba menggunakan ayat (وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ) yang tersebut itu. Lalu ia menta'wilkan ayat (لِيَعْبُدُونِ) (supaya mereka melakukan ibadat kepada-Ku) dita'wilkan dengan (ليعرفون) (supaya mereka kenal (معرفة) pada-Ku). "Ta'wilan ini tidak wajar kerana Hadith palsu itu bercanggah dengan apa yang kita baca tentang Sifat-sifat Allah dalam Qur'an. Masakan Allah tidak dikenali? Masakan Allah itu perbendaharaan yang tersembunyi? Maha Suci Allah daripada semuanya itu."

 

Penjelasan tentang pengertian (انسان كامل) Manusia sempurna

Selain daripada gnostic atau (عارف بالله) orang sufi, ada lagi satu matlamat lain iaitu untuk mencapai tahap Insan Kamil (Manusia Sempurna). "Apabila naik ma'rifat orang yang mempunyai Martabat Orang Ketujuh ini (Martabat Alam Insan), dan zahir padanya sekalian Martabat yang enam dahulu itu serta luas ma'rifatnya maka dikata akan dia lnsan Yang Kamil ya'ni Manusia Yang Sempurna."

Martabat Tujuh tersebut itulah jalan ke arah pencapaian Insan Kamil itu. "Apabila sempurna ma'rifat insan itu akan segala martabat yang tersebut terdahulu itu (Martabat Ahadiyah, Wahdah, Wahidiyah, Alam Roh, Alam Mithal, alam Ajasam), maka iaitu dinamakan akan dia lnsan al-Kamil. Insan Kamil ini, menurut mereka, ialah maqam Segala nabi dan wali. Dirasakan amat keberatan menerima bahawa Ilmu Martabat Tujuh itu mahu dilibatkan dengan Insan Kamil iaitu maqam sekalian Nabi. Kerana para Nabi ialah mereka menerima wahyu dari Allah. Mereka tidak ada kaitan dengan falsafah tajalli Martabat Tujuh ibn-'Arabi. Ahli Sunnah ialah tareqah Nabi s.a.w. dan para Sahabatnya.

Falsafah Martabat Tujuh tajalli ibn-'Arabi ialah tiada terkecuali satu apapun dalam alam semesta ini melainkan semuanya itu tajalli Sifat-sifat Allah. Dari sini maka terserlahlah Haqiqat Dzat Allah. (Bagi Wahdat al-Wujud, Sifat-Sifat Allah dengan Dzat-Nya Adalah sama). Dalam alam semesta ini hanyalah manusia yang menerima tajalli segala Sifat Allah, kerana manusia mampu menyeluruhi Wandaniyat Allah seperti keupayaan berma'rifat dengan semua enam Martabat manakala manusia itu sendiri Martabat keTujuh yang digelar Martabat Jami', ertinya menghimpunkan semua enam Martabat yang terdahulu. Maka dari sinilah lahirnya istilah Insan Kamil. Insan Kamil yang ideal ialah Nabi Muharnmad s.a.w. dan daripada Nur Muhammad para Nabi dan para Wali memperolehi ilham dan kesempurnaan ruhaniah mereka."

Dalam tasawuf ada peningkatan Syari’at, Tareqat, Haqiqat, Ma'rifat. Mengapakah Syari'at diletakkan hanya pada peringkat pertama? Sedangkan itulah yang jelas dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan di manakah letaknya Martabat Tujuh dalam 4 susunan ini? Seperti yang tersebut, bagi Ahli Sunnah segala penyempurnaan Rukun Iman dan Rukun Islam, yang boleh digelar amalan zahir Syari'at, itu adalah ghayah (matlamat). Tiada apa-apa lagi yang diharapkan selepas itu selain daripada mengharapkan semua amalan di qabul dan mendapat keredhaan Allah.

Bagi tasawuf falsafah Martabat Tujuh, malah bagi keseluruhan prinsip ajaran tasawuf, mereka gelar Syari'at itu kulit. Syari'at itu hanyalah tingkatan pertama. Selepas itu ada lagi Tareqat, Haqiqat dan Ma'rifat (gnosis). Antara jalan utama ke arah Ma'rifat ialah zikir. Zikir, dalam pengertian zaman kita sekarang ialah concentration (tumpu seluruh fikiran dan jiwa raga) kepada Allah. "Ya'ni memandang dengan hatinya akan semata-mata wujud Dzat Allah Ta'ala dengan tiada i'tibar Sifat-Nya dan Asma'-Nya, dan Af'al-Nya, sekira-kira ghaib ia daripada dirinya pula, tiada ia ingat dalam hatinya itu hanya Allah Ta'ala jua." Petikan daripada (عبد الصمد الفلمباني) ini dengan kata lain, dalam concentration berzikir itu ingatkan Allah dalam Martabat Ahadiah - La Ta'yyun tanpa Sifat-Nya, tanpa Asma' (Nama-nama)-Nya dan tanpa Afa'al (Perbuatan)-Nya. Fana segala-galanya hatta tiada sedarkan ada diri sendiri. Siapakah yang boleh melakukan zikir seperti ini? Konsep zikir (concentration) seperti ini seakan ada persamaan dengan Nirvana (kekosongan) dalam ajaran Buddha.

Walau bagaimanapun zikir Dzat Allah Ta'ala semata, seperti yang tersebut di atas tidak selesai setakat itu. Bagaimana boleh selesai setakat itu "sedangkan Dzat al-Haqq semata itu adalah, bagi Wahdat al-wujud, digelar Perbendaharaan tersembunyi, (الكنز المخفي), yang tidak boleh dikenali. Tetapi yang boleh dikenali ialah segala Sifat dan Asma' (Nama)-Nya yang ditajallikan keseluruh alam semesta ini. Maka dalam tahap ma'rifat inilah terletaknya peranan Martabat Tujuh itu.

Apakah alasan yang munasabah mereka mengatur susunan Syari'at, Tareqat, Haqiqat, dan Ma'rifat? Mereka meletakkan Syari'at pada anak tangga pertama kerana amalan Syari'at semuanya ada berkaitan dengan benda. Salat atau sembahyang, umpamanya, melibatkan badan kita, pakaian menutup 'aurat, mengarah kiblat, dan lain-lain yang melibatkan gerak, masa dan ruang. Maka kesemuanya ini adalah benda. Begitulah juga puasa, zakat, haji, qurban, sedekah, dan segala-gala amalan Syari'at semuanya adalah berkaitan dengan benda belaka. limu tareqat terus berkembang dengan mensyaratkan ada syaikh dan murid. Syaikh itu digelar mursyid ertinya penunjuk yang memberi tunjuk ajar dalam mengamalkan wirid, doa, zikir dan sebagainya. Semuanya itu dengan tujuan mahu mengubat penyakit hati dengan bersuluk, berkhalwah dan beruzlah.

Melalui tareqat maka murid beroleh kasyaf (terbuka hijabnya) dengan Allah. Hijab itu ialah hawa nafsu. Hakikat tasawuf ialah membuang dunia. Hakikat ma'rifat ialah mengenal nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya, dan akhirnya sampailah kepada haqiqat yang digelar juga Hadhrat al-Wujud. Dalam peringkat fana' diri barulah sampai kepada ma'rifat Allah. Maka itulah kemuncak yang SUFI mahu capai iaitu ma'rifat Allah mengikuti laluan jalan membanyakkan zikir serta memandang dengan hati akan semata-mata wujud Dzat Allah tanpa Sifat-Nya, tanpa Asma' (nama-nama)-Nya dan tanpa Af'al (perbuatan)-Nya. Maka semuanya ini tanpa benda. Dzat Allah tanpa Af'al-Nya. Kalau dengan Af'al-Nya, maka tentu melibatkan alam ini. Kerana alam semesta ini tidak lain daripada benda hasil daripada Af'al Allah. Tanpa Sifat-Nya, kalau dengan sifat-Nya seperti Qudrat dan Iradat maka sudah tentu Ada berkaitan dengan benda dalam seluruh alam semesta ini yang terjadi hasil daripada Allah yang Mahu Menunjukkan Qudrat dan Iradat-Nya. Tanpa Asma' (Nama-nama) kerana dengan ada Nama-Nya maka nama-Nya itu boleh disebut. Sebutan itu adalah suara, dan suara itu benda. Dengan kata lain, membanyakkan zikir serta memandang dengan hati pada Martabat

Ahadiah atau La Ta'yyun Dzat semata-mata (tanpa ada apa-apa) iaitu sebelum Allah bernama Allah (atau al-Haqq pada istilah mereka), dan seterusya Martabat-Martabat yang lain. Sebab itu tidak hairanlah jika ahli-ahli tareqat tasawuf mementingkan zikir lebih daripada amal ibadat yang lain.

Dalam zikir Dzat ini sebut Allah pun tidak boleh, kerana Allah itu nama bagi Dzat yany bersifat Wajib al-Wujud. Sedangkan mereka mahu Dzat sahaja tanpa Sifat. Asma', dan Af'al. Sebab itu di tahap ini mereka tidak sebut (لا اله الا الله، الله، الله، الله) tetapi mereka sebut (أه، أه، أه) yang mereka gelar zikir ma'rifat Dzat. Atau zikir (هو هو هو، عاء عيء عوء، آ اَ أٌ ا) atau lain-lain. Sila perhatikan bahawa sebutan zikir seperti ini semuanya tanpa menggerakkan lidah tapi hanya membunyikan suara. Maka dari sudut ini ada persamaan dengan sebutan kalimah suci Hindu Om atau Aum yang juga hanya mengeluarkan suara tanpa gerak lidah.

 

Adakah `Aqidah Ahli Sunnah boleh menjadi benteng atau boleh diharmonikan dengan Martabat Tujuh?

Jawapannya - Bidang dua ilmu ini amat jauh berbeza. 'Aqidah Ahli Sunnah adalah jenis ilmu zahir sedangkan Martabat Tujuh adalah ilmu tasawuf iaitu ilmu batin. Ahli Sunnah Asy'ariah seperti di Negara kita ada ada yang bertasawuf dan ada yang tidak. Sekali terjebak ke dalam tasawuf, mereka tidak tahu dimanakah sempadannya yang mesti mereka berhenti. Kitab-kitab, buku-buku tasawuf dan penyebar-penyebarnya ada dimana-mana. Perkara ini sudah menjadi budaya. Budaya ini terbentuk sejak sekian ratusan tahun. Seruan, "Ayuh kita tegakkan 'Aqidah Ahli Sunnah!" keberkesanannya amat disangsikan jika masalah ta'wilan ayat dan hadith palsu tidak dikawal dengan cara yang benar-benar berkesan. Kembali kepada cara Salaf adalah jalan yang sebaik-baiknya dalam menyelesaikan perkara ini.. Sekian.

وصلى الله على محمد وعلى آله وصحبه وسلم والحمدلله رب العالمين

17 Ramadhan 1418 / 16 Januari 1998.

 

 


 

Isikandungan Buku: