Utusan M'sia : Penjelasan umur Aisyah
PARA pembaca dan pengkaji serta pencinta ilmu yang budiman. Saya yakin ada pembaca budiman yang terperanjat dengan artikel yang diterbitkan sebelum ini, mengenai umur Aisyah.
Artikel itu disediakan dengan bantuan beberapa teman sepejabat. Mungkin ada yang kurang senang dengan artikel tersebut memandangkan isi kandungannya tidak menyebelahi penetapan umur Aisyah ketika bernikah dengan Nabi SAW.
Para pembaca harus faham bahawa untuk membincangkan sesuatu topik yang besar seperti ini perlukan ruangan yang lebih besar.
Jadi, dalam ruangan yang sempit, masa yang terhad dan kepakaran yang terbatas pastinya terdedah kepada kelemahan dan kekurangan.
Harapan saya, para pembaca tidak mengambil kesempatan mencela dan mengata di belakang. Kita semua bertanggungjawab menyebar dan mempertahankan ajaran Islam serta menjaga kesuciannya. Lebih-lebih lagi yang berkaitan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, pembawa syariat Allah.
Rupanya, kebanyakan kita lupa kepada ayat Allah SWT yang bermaksud: … dan hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebajikan dan takwa dan jangan sama sekali kamu bantu membantu dalam perkara dosa maksiat dan pencerobohan…(al-Maidah: 2)
Menolak hadis-hadis yang sahih adalah jenayah dalam Islam. Kami yang berusaha mempertahankan hadis-hadis yang sahih tidak akan menolak hadis-hadis yang sahih. Lebih-lebih lagi hadis dari Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Apa yang berlaku adalah satu kecuaian yang tidak disengajakan dalam memilih pendapat dalam penetapan umur Aisyah r.a yang dirujuk.
Bagi membetulkan fakta dinyatakan pendapat yang rajah dan selari dengan hadis-hadis yang sahih seperti berikut.
Penetapan umur Aisyah r.a ketika dinikahkan dengan Rasulullah SAW adalah ketika Aisyah berumur enam tahun dan Rasulullah tinggal bersama berumur sembilan tahun bukanlah ijtihad ulama sehingga boleh ditentukan kesahihan dan kesalahannya.
Penetapan ini adalah daripada nukilan sejarah yang telah pasti kesahihannya dan mesti diakui dan diterima tanpa bantahan. Dikhuatiri bantahan dan penolakan terhadap penetapan umur Aisyah r.a dinikahi Nabi saw ketika berumur enam tahun mengundang kepada penolakan hadis-hadis yang sahih dari sudut sanad dan matannya.
Hal ini berdasarkan beberapa faktor yang akan dinyatakan sebagaimana di bawah.
l Penetapan atau pengakuan ini adalah bersumberkan kata-kata pemilik kisah sendiri iaitu Ummul Mukminin Aisyah r.a. Bukan juga sesuatu yang ditetapkan oleh ahli sejarah. Kisah perkahwinan ini diriwayatkan oleh Aisyah r.a sendiri:- Daripada Aisyah r.a. berkata: Nabi SAW. melaksanakan pernikahan denganku ketika aku berumur 6 tahun. Kami pergi ke Madinah dan tinggal sementara di perkampungan Bani al-Harith b. al-Khazraj. Kemudian aku ditimpa penyakit yang menyebabkan rambutku gugur. Lalu rambutku tumbuh semula. Ketika aku bermain-main dengan rakan-rakanku, ibuku Ummu Ruman memanggilku. Aku pun mendapatkan ibuku tanpa mengetahui apa yang dikehendakinya. Ibuku memegang tanganku dan membawaku sehingga memberhentikanku di hadapan pintu rumah. Aku merasa gementar dan sesak nafas, apabila gementarku semakin hilang, ibuku mengambil sedikit air dan membasahkan wajah serta kepalaku. Lalu ibuku membawaku masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah aku dapati sejumlah wanita-wanita Ansar. Mereka berkata: Di atas kebaikan dan keberkatan, kebaikan yang akan datang. Ibuku menyerahkanku kepada mereka. Mereka mempersiapkanku dan memperelokkan keadaanku. Tanpa aku menyedari, pada waktu duha Rasulullah SAW tiba, maka aku diserahkan kepada Baginda. Ketika itu aku berumur sembilan tahun.
Riwayat daripada Aisyah r.a ini ada di dalam kitab hadis yang paling sahih selepas kitab Allah iaitu Sahih al-Bukhari (3894) dan Muslim (1422).
Kisah ini diriwayatkan atau datang dari Aisyah r.a melalui jalur periwayatan (sanad) yang banyak selain riwayat yang paling masyhur iaitu daripada Hisyam bin Urwah bin al-Zubair, daripada bapanya Urwah bin al-Zubair, daripada Aisyah r.a dan jalur Hisyam bin Urwah ini merupakan riwayat yang paling sahih.
Urwah bin al-Zubair ialah antara perawi yang paling mengenali Aisyah, kerana Aisyah adalah ibu saudaranya.
Riwayat-riwayat lain berkenaan kisah ini adalah melalui:
l Riwayat al-Zuhri daripada Urwah bin al-Zubair dari Aisyah r.a. (Muslim 1422)
l Riwayat al-A'mash, daripada Ibrahim, daripada al-Aswad, Aisyah berkata: Rasulullah SAW mengahwininya ketika dia berumur 6 tahun, tinggal bersamanya ketika berumur 9 tahun dan Rasulullah wafat ketika Aisyah berumur 18 tahun. (Muslim 1422)
l Riwayat Muhammad bin Amr, daripada Yahya bin Abdul Rahman bin Hatib, daripada Aisyah. (Abi Daud 4937).
Para perawi yang menyokong riwayat Urwah bin al-Zubair pula adala: al-Aswad bin Yazid, al-Qasim bin Abd Rahman, al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, Amrah binti Abdul Rahman dan Yahya bin Abdul Rahman bin Hatib.
Perawi yang menjadi mutabi' bagi Hisyam bin 'Urwah bin al-Zubair adalah Ibn Syihab al-Zuhri dan Abu Hamzah Maimun maula Urwah.
Perawi yang mengambil daripada Hisyam bin Urwah daripada penduduk Madinah Abu al-Zinad Abdullah bin Zakwan, anaknya Abd al-Rahman bin Abi al-Zinad, Abdullah bin Muhammad bin Yahya bin Urwah. (Ini menunjukkan Hisyam turut meriwayatkan kisah ini sewaktu dia berada di Madinah).
Di kalangan penduduk Mekah Sufyan bin Uyaynah; penduduk al-Ray, Jarir bin Abd Hamid al-Dobbi. Di kalangan penduduk Basrah ialah Hammad bin Salamah, Hammad bin Zayd, Wuhaib bin Khalid dan sebagainya.
Semua ini bagi menjawab sangkaan bahawa Hisyam bin Urwah bersendirian meriwayatkannya dan sangkaan bahawa Hisyam telah bertukar atau berubah hafalannya di akhir umurnya.
Imam al-Zahabi berkata: "Hisyam bin Urwah, salah seorang ulama tetapi apabila sudah berumur, hafalannya sedikit kurang, beliau tidak pernah al-Mukhtalid (bercampur @ berubah antara yang salah dengan yang benar dalam riwayat)."
Apabila beliau sampai di Iraq di akhir umurnya, beliau menyampaikan ilmu dan terdapat amat sedikit yang tidak dinyatakan ketepatannya. Perkara ini juga berlaku kepada Malik, Syu'bah, Waqi' dan ahli-ahli hadis yang terkemuka. (Mizan al-I'tidal 4/301-302)
Adapun pendapat yang mengatakan bahawa Hisyam bin Urwah dan Suhail bin Abi Sahih telah mukhtalid, benar seseorang itu akan berubah sedikit dengan hafalannya iaitu tidak seperti ketika mudanya, maka beliau tidak beberapa pasti akan hafalannya.
Begitu juga kisah perkahwinan Nabi SAW dengan Aisyah r.a ketika beliau berumur sembilan tahun. Diriwayatkan oleh selain Aisyah, di kalangan mereka yang sempat bersamanya dan lebih mengenalinya daripada orang lain.
Telah diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad daripada Muhammad bin Bisyr, berkata: "Muhammad bin Amr telah memberitahu kami, Abu Salamah dan Yahya juga telah memberitahu kami ….. Di dalam riwayat ini dinyatakan bahawa umur Aisyah ketika akad adalah 6 tahun dan tinggal bersama ketika 9 tahun. (Musnad Ahmad 6/24)."
Berkata Imam al-Bayhaqi, ketika mengulas hadis: "Aku tidak mengetahui tentang ibu bapaku melainkan mereka sudah memeluk agama Islam berkata Aisyah dilahirkan di dalam Islam, kerana bapanya memeluk Islam sewaktu permulaan Rasulullah SAW dilantik."
Maka jelas melalui hadis-hadis sahih di atas bahawa umur Aisyah ketika dinikahi oleh Nabi SAW adalah enam tahun.
Mudah-mudahan jawapan yang ringkas ini memberi manfaat kepada mereka yang ikhlas mencari kebenaran.
sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm